SEORANG pengusaha kelapa berharap kerajaan dapat menggalakkan semula golongan muda untuk menanam kelapa berbanding kelapa sawit.
Abd Rahim Jazuli‚ 47‚ yang berniaga di Pasar Borong Selangor‚ Seri Kembangan berkata‚ keuntungan kelapa sebenarnya banyak walaupun pada awalnya memerlukan penjagaan yang rumit.
“Sekarang orang semua sudah tak nak tanam kelapa tetapi tanam kelapa sawit. Penanaman kelapa rumit pada permulaan tetapi apabila sudah berbuah‚ ia lagi untung daripada sawit. Harapan saya mungkin kerajaan boleh galak tanaman kelapa semula‚” katanya.
Menurut Abd Rahim yang telah menceburi bidang ini hampir 40 tahun‚ kerajaan mungkin boleh memberi skim atau geran bantuan kepada generasi muda untuk menggalakkan penanaman kelapa.
Beliau berkata‚ banyak kebun masih boleh digunakan untuk tanaman ini.
“Jika ada bantuan seperti benih‚ dari situ orang mungkin minat balik nak tanam kelapa. Masalah bekalan kelapa yang berkurang juga boleh diatasi‚” katanya.
Sementara itu‚ Abd Rahim yang merupakan anak kelahiran Bagan Datuk‚ Perak mengakui apabila permintaan tinggi dan bekalan berkurang akan menyebabkan harga makanan asas daripada kelapa seperti santan dan kerisik akan naik.
Bagaimanapun‚ cabaran itu beliau atasi dengan mengurangkan sedikit bekalan kelapa muda masa ini dan menyimpannya sehingga menjadi kelapa tua.
“Walaupun tak cukup‚ sekurang-kurangnya ia berterusan dan bekalan kelapa tua tidak putus.
“Saya sudah mulakan sejak Disember lalu dengan menyimpan kelapa muda untuk menampung bekalan kelapa tua bermula Mac ini‚ lebih-lebih lagi menjelang puasa dan Aidilfitri‚” katanya.
Pada 24 Disember lalu‚ Pengerusi Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA)‚ Aminuddin Zulkipli berkata‚ cuaca tidak menentu sejak tiga bulan lalu di ladang tempatan dan negara pengeksport seperti Indonesia disifatkan menjadi punca kepada peningkatan harga kelapa di pasaran.
Aminuddin berkata‚ situasi itu mengakibatkan penurunan bekalan kelapa tempatan sehingga 50 peratus di beberapa pasar utama‚ termasuk di Lembah Klang.
Katanya‚ bagi menampung keperluan pasaran‚ FAMA melalui anak syarikatnya‚ FAMACO meningkatkan pembelian kelapa tua dari Indonesia kepada 320 metrik tan sebulan bermula Disember 2024 berbanding 180 metrik tan sebelum ini.
Aminuddin berkata‚ harga purata kelapa tua kini berada dalam lingkungan RM2.20 hingga RM2.93 sebiji di Semenanjung Malaysia.
Pada 23 Disember lalu‚ akhbar melaporkan Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) bimbang dengan kenaikan harga kelapa yang mendadak di pasaran negeri ini sejak dua minggu lalu.
Presiden CAP‚ Mohideen Abdul Kader berkata‚ ia dikenal pasti menerusi tinjauan di beberapa pasar yang mendapati harga kelapa naik secara berperingkat dari RM2 kepada RM2.50‚ dengan kelapa bersaiz besar mencecah RM3.30 setiap sebiji.
Dalam pada itu‚ Abd Rahim berkata‚ terdapat usaha mengimport kelapa tua dari Indonesia.
Bagaimanapun beliau berkata kualiti kelapa tua Malaysia lebih baik berbanding Indonesia.
“Kos tinggi lepas itu ia punya kualiti kurang tak macam kelapa Malaysia. Tanyalah mana-mana orang‚ jawapannya kelapa kita masih yang terbaik dari segi ketahanan dan harga‚” katanya.
Abd Rahim berkata‚ kekurangan bekalan kelapa ini biasanya akan berlaku setahun sekali dan terutama musim hujan yang berterusan. Beliau berkata pada bulan Julai dan Ogos biasanya akan berlaku lambakan kelapa tua.
“Jadi pengusaha kelapa digalakkan untuk bersedia untuk menampung bekalan kelapa tua yang berkurangan‚” katanya.
Mengulas lanjut‚ Abd Rahim berkata harga terkini kelapa tua dianggarkan RM2.50 sebiji. Harga sedikit naik dalam 30 ke 40 peratus kerana sebelum ini harganya di antara RM1.80 ke RM1.90 sebiji.
Katanya lagi‚ keuntungan bersih yang diperolehi masa ini dalam bidang pengusaha kelapa adalah sebanyak RM100‚000 sebulan.
“Namun sedikit merosot jika bekalan kelapa berkurangan. Biasa hantar lori ke pasar borong Selangor seminggu enam kali sekali tetapi buat masa ini tiga kali seminggu‚” katanya. – WILAYAHKU