Berita

Gaji naik, mutu perkhidmatan perlu dipertingkat

- Diterbit 16 Ogos 2024 5:40 PM MYT

MENTERI Komunikasi, Fahmi Fadzil menyambut baik pengumuman Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berhubung penyelarasan Sistem Saraan Perkhidmatan Awam (SSPA) yang akan berkuat kuasa 1 Disember ini.

Beliau berkata pengumuman itu menamatkan spekulasi dan penantian 12 tahun penjawat awam yang telah berkhidmat.

“Ini adalah satu perubahan besar kerana kita akan memberi fokus bukan hanya kepada peningkatan gaji tetapi juga mutu yang diberi selepas ini,” katanya selepas ditemui dalam Majlis Amanat Perdana Perkhidmatan Awam (MAPPA) ke-19 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC).

Kata Fahmi, kenaikan gaji dan pangkat selepas ini adalah berdasarkan prestasi penjawat awam.

Beliau berkata dalam konteks itu, akan diberikan penekanan dari segi integriti.

“Sekiranya ketua jabatan melindungi mana-mana pegawai atau anggota dalam jabatan yang melakukan kesalahan, kesannya juga kepada ketua jabatan itu.

“Kenaikan gaji kepada penjawat awam juga menyaksikan bantuan kepada rakyat meningkat seperti Sumbangan Tunai Rahmah, Jualan Rahmah dan bantuan awal persekolahan yang meliputi jumlah yang lebih ramai,” katanya.

Mengulas lanjut Fahmi berkata sektor swasta turut menerima manfaat hasil daripada pengumuman Dasar Gaji Progresif yang diumumkan pada Jun lalu.

Beliau berkata insentif RM50 juta itu, dianggarkan 1,000 syarikat akan terlibat.

“Ini merangkumi 1 juta pekerja akan mula menyaksikan peningkatan gaji mereka.

“Saya difahamkan ketika ini kita sedang meneliti angka bagi gaji minima.

“Jadi ia akan diselaraskan bukan hanya kepada penjawat awam, sektor swasta tetapi rakyat secara amnya,” katanya. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas