Oleh HAZIRAH HALIM
TINDAKAN pantas seorang anggota polis trafik menyelamatkan pemandu kenderaan pelbagai guna (MPV) yang hampir lemas dalam kejadian banjir kilat berhampiran Jalan Chan Sow Lin pada 6 Oktober lalu mendapat penghargaan Ahli Parlimen Cheras, Tan Kok Wai.
Anggota tersebut, Lans Koperal Muhammad Afizul Ismail yang bertugas di Unit Cawangan Lalu Lintas, Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik, Balai Polis Trafik Kuala Lumpur berkata dia berterima kasih dan bersyukur dengan penghargaan yang diberi serta beriltizam akan terus membantu masyarakat tidak kira apa jua bentuk bantuan yang diperlukan.
Berkongsi tentang kejadian, dia dihubungi oleh pusat kawalan lalu lintas sekitar pukul 5.30 petang dan dimaklumkan terdapat sebuah kereta tersangkut di lokasi berkenaan manakala pemandunya terperangkap di dalam kenderaan.
“Apabila sampai di lokasi kejadian, saya tidak fikir panjang, dengan helmet dan baju hujan yang masih belum dibuka, saya terus tutup jalan tersebut dan cuba mengeluarkan mangsa yang sudah panik dalam kenderaan berkenaan.
“Setelah pintu dapat dibuka, saya terus membawanya ke tempat selamat dan cuba menenangkannya dan menghubungi waris terdekat untuk memaklumkan keadaan mangsa.
“Ketika kejadian, hujan masih lebat dan paras air ketika itu kira-kira 1.5 meter (paras hidung), saya memang tidak fikir apa, yang penting mangsa dapat diselamatkan dan alhamdulillah saya tidak mengalami sebarang kesukaran,” katanya ketika ditemui di Balai Trafik Kuala Lumpur pada Isnin.
Terdahulu, Muhammad Afizul menerima sijil penghargaan dan sebuah telefon bimbit untuk menggantikan telefonnya yang telah rosak akibat dimasuki air ketika kejadian.
Turut hadir, Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Sarifudin Mohd Salleh.
Sementara itu, Ahli Parlimen Cheras, Tan Kok Wai berkata tindakan berani tersebut wajar dipuji dan diberi penghargaan kerana tindakan pantasnya dalam suasana kritikal berjaya menyelamatkan nyawa individu berkenaan.
“Kejadian ini adalah satu contoh yang wajar diberi penghargaan dan teladan yang patut dicontohi oleh semua penjawat awam atau orang ramai,” katanya.
Sebelum ini, tular di media sosial tiga anggota polis bergadai nyawa berjaya menyelamatkan seorang pemandu yang hampir tenggelam susulan banjir kilat di terowong Jalan Chan Sow Lin.
Selain Muhammad Afizul, dua lagi anggota terlibat adalah Koperal Syed Syafiq Syed Halim dan Lans Koperal Shahrip Kamaruzaman. – WILAYAHKU