Berita

GABPOBA martabat peranan komuniti

GABPOBA kini memfokuskan kepada pembangunan belia di Labuan.
- Diterbit 13 April 2025 3:00 PM MYT
PERSATUAN Gabungan Belia dan Beliawanis Kampung Pohon Batu (GABPOBA) berjaya melaksanakan empat program sepanjang Ramadan dan Syawal tahun ini sekali gus menjadi sebuah persatuan belia memartabatkan peranan komuniti.

Menurut Pengerusinya, Mohd Hazwan Tamin, penganjuran program berkenaan bertujuan mencapai matlamat dan keaktifan pertubuhan belia itu sendiri.

Katanya GABPOBA menjangkau usia 38 tahun dan akan terus mengorak langkah bukan sahaja memfokuskan kepada pembangunan belia malah penglibatan belia dalam aktiviti masyarakat.

“Kita juga memainkan peranan penting dalam pembangunan komuniti.

“Peranan belia juga harus diiktiraf atas sumbangan yang diberikan kerana pemimpin belia ketika ini bakal mewarisi kepimpinan negara pada masa depan,” katanya.

Mohd Hazwan memberitahu pihaknya dengan sokongan ahli jawatankuasa akan merancang pelbagai program untuk pembangunan belia dan masyarakat setempat.

Tambah beliau program yang dilaksanakan tahun ini akan dijadikan program tahunan GABPOBA.

“GABPOBA akan terus menjalin kerjasama dengan agensi kerajaan, korporat dan swasta dalam penganjuran program,” jelasnya.

Sementara itu, beliau turut menzahirkan penghargaan kepada Pengerusi JPKK Pohon Batu, Haryadi Omar atas kepercayaan menggalas tanggungjawab yang diberikan dalam setiap program yang diadakan.

Sehubungan itu, beliau berharap GABPOBA akan terus menjadi landasan melahirkan pelapis pemimpin dan berimpak positif di mata masyarakat setempat. – WILAYAHKU
Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas