PERDANA Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan cadangan penggubalan Akta Parlimen Berpenggal Tetap (FTPA) bukanlah keutamaan buat kerajaan pada ketika ini.
Jelas beliau, walaupun berminat untuk melihat perkembangan isu tersebut dengan lebih mendalam, namun setakat ini belum ada perbincangan dibuat mengenainya.
Selain menyifatkan isu berkenaan “agak pramatang” untuk kerajaan membuat keputusan mengenai FTPA, kerajaan perlu meneliti setiap sudut berkenaan cadangan tersebut
“Kerajaan belum mendapat sebarang komen daripada Peguam Negara (AG) dan belum ada kata sepakat dalam kalangan pemimpin kerajaan perpaduan… kita lalui dengan proses itu.
“Sekiranya ada cadangan dikemukakan nanti, kerajaan akan menelitinya dengan sebaik mungkin.
“Tetapi bagi saya, ia bukan keutamaan (buat masa ini),” katanya.
Anwar berkata demikian ketika ditemui media selepas pelancaran program AI Untuk Rakyat di Pusat Kesenian & Kebudayaan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah di Universiti Putra Malaysia, Serdang hari ini.
Terdahulu Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mencadangkan FTPA ekoran kemelut politik yang berpanjangan terutama selepas PRU ke-14 pada 2018 yang menyaksikan pertukaran perdana menteri sebanyak tiga kali. – WILAYAHKU