Berita

FSY2024 perkasa ekonomi Islam

SAADIAH (kanan) ketika sidang media FSY2024 di Hotel Marriott Putrajaya.
- Diterbit 20 September 2024 10:50 AM MYT

BUAT julung kalinya, Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (YAPEIM) menganjurkan Forum Serantau YAPEIM 2024 (FSY2024) yang akan menghimpunkan 60 penceramah dan ahli panel dari dalam serta luar negara dengan pelbagai latar belakang selama dua hari iaitu pada 1 dan 2 Oktober ini.

Menurut Ahli Lembaga Pemegang Amanah YAPEIM merangkap Pengerusi Jawatankuasa Penganjur FSY2024, Profesor Datuk Dr Saadiah Mohamad, forum yang mengetengahkan tema Memperkasa Ekonomi MADANI Melalui Sinergi Rangkaian Serantau itu akan menampilkan panel dari Indonesia, Kemboja, Singapura, Thailand dan United Kingdom, selain Malaysia.

“Antara topik akan dikupas ialah usaha memerangi kemiskinan tegar dan ketidaksamaan; kewangan Islam, teknologi kewangan dan ekonomi bernilai tinggi; ekonomi digital; industri halal dan pelancongan Islam serta pemerkasaan institusi dan agensi Islam.

“FSY2024 bermatlamat mengumpulkan pengamal dan pemikir dalam ekonomi serta kewangan Islam bagi mengenal pasti cabaran.

“Begitu juga kehendak ekonomi dan kewangan semasa selain merancang pelbagai pendekatan dan strategi berkesan untuk membantu kerajaan membangun ekonomi umat Islam.

“Kita mahu memperkasa sektor ketiga dalam usaha membangunkan ummah dengan lebih efisien dan tadbir urus yang baik di samping mengeratkan rantaian dan mewujudkan sinergi ekonomi antara ummah di rantau Nusantara,” katanya pada sidang media yang diadakan di Hotel Marriot Putrajaya baru-baru ini.

Saadiah berkata pelaksanaan FSY2024 diharap dapat memperkasakan pembangunan ekonomi Islam di Asia Tenggara terutama ketika rantau ini sedang menikmati kestabilan politik dan pertumbuhan ekonomi menggalakkan.

“Fokus kami bukan sahaja pada Malaysia tetapi seluruh Nusantara dengan harapan kami dapat memanfaatkan masa yang menarik ini (kemakmuran) dan ketika dunia yakin terhadap ekonomi kita,” ujar beliau.

Dalam pada itu, Saadiah berkata 80 peratus ceramah dalam forum itu akan dikendalikan dalam bahasa Melayu sebagai usaha mempromosikan sebagai lingua franca Nusantara.

“Bagaimanapun, beberapa sesi pembentangan oleh penceramah luar negara akan dijalankan dalam bahasa Inggeris. Ini bertujuan memastikan penyertaan yang luas dan memudahkan pemahaman dalam kalangan peserta dari seluruh rantau Nusantara.

“Forum dijangka dihadiri lebih 500 peserta daripada seluruh ekosistem ekonomi dan kewangan Islam termasuk sektor infaq dan wakaf.

“Kita memberi fokus kepada pembangunan ekonomi dan aspek yang memberikan sumbangan kepada ekonomi benar. Oleh itu, forum ini turut membabitkan sektor infaq dan kewangan sosial yang kurang diberi perhatian dalam forum besar,” ujarnya.

Lebih istimewa, beliau berkata FSY2024 akan dirasmikan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas