Berita

FPM@KL diharap jadi acara tahunan

- Diterbit 20 September 2024 11:00 AM MYT

SERAMAI 2,378 peserta terdiri daripada badan beruniform, sektor korporat dan terbaharu institusi pengajian tinggi turut terlibat di dalam pertandingan permainan tradisional sempena Festival Permainan Malaysia @ Kuala Lumpur (FPM@KL) 2024 baru-baru ini.

Ketua Pengarah Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN), Mohd Amran Mohd Haris berkata FPM@KL bertujuan untuk menyemarakkan lagi permain tradisional dan sukan rakyat pelbagai kaum di Malaysia.

“Program yang telah memasuki sembilan tahun penganjuran dan berkonsepkan festival yang merangkumi pelbagai aktiviti dan pengisian seperti pertandingan permainan tradisional, permainan interaktif, pameran dan demonstrasi, persembahan serta jualan dan banyak lagi,” katanya dalam satu kenyataan.

Mohd Amran berkata pengisian lain yang turut memeriahkan FPM@KL 2024 adalah Permainan Lagenda Rakyat seperti terompah gergasi, susun bata, kaki hantu, kereta sorong, lari dalam guni berkembar, tarik upih pinang, kelereng, tuju tin, bola beracun dan raja dijulang.

“Festival kali ini juga turut melibatkan pelancaran Senam Seni 2.0 iaitu modul baharu senam seni yang merupakan senaman hasil inisiatif daripada JKKN menggunakan kaedah gerak tari melibatkan penyertaan 1,000 orang peserta.

“Antara perkara yang ditambah baik adalah dari segi durasi masa, di mana Senam Seni 2.0 hanya berdurasi selama 18 minit berbeza dengan Senam Seni Malaysia selama 30 minit dan secara keseluruhan gerakan 70% kecergasan dan 30% gerakan seni. Pelancaran Senam Seni ini turut menampilkan Selebriti dan Artis tersohor negara iaitu Izzue Islam, Mimi Fly, Nur Dhabitah Sabri dan Kevin Zahari,” ujarnya.

Tambahnya, FPM@KL 2024 mendapat sokongan yang padu lebih daripada 40 rakan kerjasama dan juga penaja-penaja.

“Besar harapan saya agar FPM@KL terus menjadi acara tahunan negara dalam mengangkat dan memulihara keunikan kesenian serta kepelbagaian warisan tradisi rakyat Malaysia.

“Selain itu juga, penganjuran festival ini diharap dapat menyediakan peluang penjanaan pendapatan kepada usahawan seni budaya dalam menggalakkan pertumbuhan ekonomi setempat serta membantu badan bukan kerajaan (NGO) seni budaya melalui acara sebegini,” katanya. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas