SERAMAI 2,378 peserta dijangka akan terlibat di dalam pertandingan permainan tradisional sempena Festival Permainan Malaysia @ Kuala Lumpur 2024 (FPM@KL 2024).
Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) berkata festival kali ini turut menjadi salah satu pengisian utama bagi Program Hari Malaysia 2024 bersama Festival Gendang dan Tari Antarabangsa dan Kuala Lumpur Cinta Rasul di bawah penyelarasan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).
“Intipati utama FPM@KL 2024 adalah pertandingan permainan tradisional di antara badan beruniform, sektor korporat dan juga institusi pengajian tinggi yang akan dikelolakan oleh Persatuan Sukan Tradisional Malaysia seperti tarik tali, galah panjang, tuju tin dan banyak lagi.
“Selain itu, permainan legenda rakyat seperti terompah gergasi, bola beracun, raja dijulang dan banyak lagi turut diadakan.
“Seperti sebelumnya, FPM@KL turut menampilkan acara bertaraf dunia iaitu Kejohanan Tarik Tali Kelab-Kelab Antarabangsa di mana sebanyak tujuh kategori akan dipertandingkan. Setakat ini kelab-kelab dari negara Brunei, Taiwan dan Singapura telah mengesahkan penyertaan dalam acara ini manakala sebanyak 60 kelab tempatan dari seluruh Malaysia akan turut serta,” katanya dalam satu kenyataan.
Tambahnya, pada tahun ini juga beberapa acara baharu telah diperkenalkan seperti Pertandingan Tarian Singa Interaktif, Jom Solat Subuh Macam Jumaat, Pertandingan Catur Cina dan Pasar Saloma.
“FPM@KL kali ini turut melancarkan Senam Seni 2.0 iaitu modul baharu senam seni yang merupakan aktiviti olah tubuh hasil inisiatif daripada JKKN menggunakan kaedah gerak tari.
“Majlis Perasmian Festival Permainan Malaysia @ Kuala Lumpur 2024 diadakan pada 15 September ini (Ahad) pukul 8.30 pagi di Dataran Merdeka, Kuala Lumpur dan disempurnakan oleh Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Seri Tiong King Sing bersama Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Dr Zaliha Mustafa,” ujarnya. – WILAYAHKU