SEMAKIN canggih teknologi maklumat pada hari ini maka semakin ramai pengguna yang terdedah kepada ancaman penipu (scammer) dalam talian.
Memetik laman sesawang meltwater.com, Malaysia merekodkan 28.68 juta pengguna media sosial di mana angka yang tinggi ini memungkinkan ramai yang terdedah kepada penipuan.
Menyedari peri pentingnya ilmu pendidikan untuk menjadi pengguna yang bijak, maka YWP Media Sdn Bhd dengan kerjasama Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) dan Fakulti Komunikasi dan Pengajian Media (FKPM), Universiti Teknologi Mara (UiTM) Shah Alam menganjurkan Forum Keselamatan Dalam Talian.
Bertempat di Studio TV Fakulti FKPM, forum yang menampilkan penyampai radio popular, Fara Fauzana sebagai moderator memberi pendedahan cara menangani penipuan dalam talian kepada 150 orang pelajar yang hadir.
Pengerusi YWP Media Sdn Bhd, Datuk Afdlin Shauki berharap perkongsian panel dapat dimanfaatkan serta disebarkan kepada masyarakat di luar agar tidak menjadi mangsa scammer.
“Jadilah anak muda yang bijak menggunakan media sosial agar tidak tertipu. Jadikan langkah berjaga-jaga yang dikongsi hari ini sebagai perisai dalam menangani cabaran teknologi maklumat yang semakin canggih.
“Jangan terlalu mudah percaya dengan apa yang dilihat lebih-lebih lagi sekarang kita berada dalam era perkembangan teknologi yang pesat contohnya kecerdasan buatan (AI) digunakan pihak tidak bertanggungjawab dalam menyebarkan fitnah serta pembohongan untuk kepentingan diri,” ujar beliau yang juga merupakan salah seorang panel jemputan.
Tambah beliau jangan disebabkan ketaksuban terhadap teknologi menghakis nilai kemanusiaan dalam diri.
Terdahulu, antara panel terlibat dalam forum yang berlangsung selama tiga jam, Ketua Bahagian Siasatan Jenayah Komersil Putrajaya, Asisten Superintendan (ASP) Rastam Affendi Md Ramli; Pengarah (Kawal Selia) MCMC Selangor, Mohamad Syukri Jamaluddin dan tetamu khas, Pensyarah Kanan UiTM, Dr Anuar Ali.
Turut hadir, Dekan FKPM, Profesor Madya Dr Abdul Rasid Abd Rahman; Timbalan Dekan Akademik, Dr Noor Mayudia Mohd Mothar, Pensyarah Kanan UiTM, Dr Anuar Ali dan Editor Wilayahku, Abie Abdullah. – WILAYAHKU