FORUM Ilmuan Malaysia Madani (FIM) yang julung-julung kali diadakan anjuran Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) bekerjasama dengan Tenaga Nasional Berhad (TNB) diyakini dapat mencambah budaya wacana yang sihat.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata forum itu merupakan satu agenda dan platform yang bertujuan mencungkil, mempersoal, menyanggah pelbagai dasar yang cuba dijelmakan kerajaan.
“Ini dengan hujah dan kritikan yang terbuka dan membina.
“Selain menjadi ruang kerjasama dalam kalangan dan antara kerajaan, ketua-ketua syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC), para ilmuwan dan akademik, pihak industri, institusi pendidikan tinggi, pakar-pakar bidang dan tokoh usahawan,” katanya di Facebook.
Menurut Anwar, forum ini akan diadakan secara berkala, bulanan dengan kerjasama lima lagi GLC sebagai permulaan iaitu PETRONAS, Digicelcom, Maybank, Khazanah Nasional dan Perodua.
Beliau berkata lima GLC itu yang masing-masing dengan topik berkaitan ekonomi, Kecerdasan Buatan (Artificial Intelligence), ‘fintech’, kemiskinan dan pengangkutan mampan.
“Saya mengambil bahagian secara aktif dalam perbahasan ini dan hampir menjawab semua persoalan yang dibangkitkan, termasuk mengenai keadaan dan permasalahan kadar upah yang rendah serta usaha kerajaan dalam mendepaninya.
“Sebagai contoh, kita ada ramai anak muda dalam kalangan hufaz, namun ia tidak harus terhenti di aspek penghafalan semata,” katanya.
Tambahnya, kerajaan harus menggalakkan mereka untuk berusaha menguasai bidang-bidang lain yang kritikal dan mendesak.
Beliau berkata ini sebagai memaknai kerangka besar kerajaan mengenai penyerapan pelajar-pelajar maahad tahfiz ke dalam Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET).
“Di sini kerajaan akan dapat melonjak prospek masa depan anak-anak tahfiz dan juga sedikit sebanyak, buat masa sekarang, membantu mereka mendapat kadar upah yang lebih baik.
“Sekalung penghargaan kepada pihak TNB sebagai GLC pertama yang menjayakan Forum Ilmuan Malaysia Madani malam tadi,” katanya.
Sementara itu, Anwar berharap agar jalinan kerjasama daripada semua pihak yang hadir ke forum itu dapat diteruskan dengan lebih kukuh demi rakyat.
TNB sebuah badan yang tidak asing lagi yang telah memberikan perkhidmatan kepada rakyat sejak 75 tahun yang lalu.
Anwar berkata beliau telah mengilhamkan forum itu tatkala mula menjawat jawatan Timbalan Perdana Menteri.
Forum itu telah memilih tema yang bertajuk Peralihan Tenaga Untuk Kesejahteraan Masa depan Negara. – WILAYAHKU