Berita

Fokus kepada kedaulatan negara, bukan kepentingan individu

- Diterbit 13 Disember 2024 12:07 PM MYT

ANGKATAN Muda Harapan (AMH) kecewa dengan sikap pemimpin pembangkang, termasuk Ahli Parlimen Muar, yang dilihat lebih tertumpu kepada mempertahankan individu tertentu berbanding memberi tumpuan kepada dapatan keseluruhan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) berkaitan isu Batu Puteh.

Ketua Penerangan Angkatan Muda Harapan, Ammar Atan dalam satu kenyataan berkata, Pendekatan ini tidak menggambarkan komitmen kepada kedaulatan negara, malah mencemarkan semangat patriotisme yang seharusnya menjadi asas perjuangan semua rakyat Malaysia.

“RCI ini, yang dipengerusikan oleh bekas Ketua Hakim Negara dan dianggotai oleh pakar undang-undang serta tokoh berpengalaman, adalah badan bebas yang ditubuhkan untuk mencari kebenaran dan mengesyorkan langkah-langkah bagi memastikan kedaulatan negara tidak tergugat.

“Justeru, adalah tidak wajar untuk pembangkang hanya menumpukan kepada satu aspek laporan RCI, seperti cadangan laporan polis terhadap Tun Dr. Mahathir Mohamad, tanpa memberi perhatian kepada cadangan lain yang lebih menyeluruh dan strategik demi mempertahankan kedaulatan negara.

“Cadangan seperti penilaian semula proses rundingan antarabangsa, penambahbaikan mekanisme pengurusan isu sempadan negara, dan pengukuhan peranan institusi diplomatik adalah antara langkah konkrit yang dicadangkan dalam laporan tersebut,” ujarnya.

Tambah beliau fokus pembangkang sepatutnya kepada usaha memastikan semua cadangan ini dilaksanakan dengan telus dan berkesan, bukan sekadar mempertahankan individu tertentu atas dasar sentimen politik.

“Langkah siasatan terhadap mana-mana pihak, termasuk laporan polis terhadap Tun Dr Mahathir Mohamad, adalah sebahagian daripada proses keadilan yang bebas dan tidak bermotifkan politik. Ia tidak bermakna jasa besar beliau sebagai negarawan dinafikan, tetapi menunjukkan bahawa tiada individu yang kebal daripada keperluan bertanggungjawab terhadap tindakan mereka. Kepentingan mempertahankan negara adalah lebih utama daripada kepentingan peribadi atau ketaksuban kepada mana-mana individu,” ujarnya.

Tegas beliau, kedaulatan Batu Puteh bukan sekadar isu teknikal atau sejarah, tetapi simbol perjuangan mempertahankan maruah negara.

“Semua pihak mesti meletakkan patriotisme dan integriti di hadapan dalam menyelesaikan isu ini,” ujarnya. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas