Biz

Fokus kekuatan bisnes untuk lebih berjaya

FAREL (kiri) dan Jonathan membuka peluang kepada pereka muda dalam ICFW
- Diterbit 12 Julai 2024 12:10 PM MYT

KEBANJIRAN platform e-dagang seiring kecanggihan dunia teknologi pada hari ini membawa pelbagai kebaikan kepada penjual mahupun pembeli memandangkan mereka mempunyai pilihan yang lebih luas untuk mendapatkan barangan yang diminati.

Namun dalam masa yang sama, ia juga mewujudkan persaingan yang lebih hebat di antara penjual apabila sesetengahnya lebih memilih untuk menjual barangan dari negara luar seperti China kerana lebih murah dan senang didapati.

Ternyata situasi tersebut mendatangkan cabaran sehingga ada peniaga yang terpaksa ‘gulung tikar’ kerana tidak mampu bersaing dari segi harga untuk memenuhi persaingan jualan di platform e-dagang.

Mengakui hal tersebut, pereka fesyen Farel Mikhail dan Jonathan berkata, pasaran terbuka hari ini telah pun mengubah landskap perniagaan sekali gus berdepan cabaran yang lebih besar.

“Banyak baju yang diborong dari China dibawa masuk dan dijual dengan harga yang jauh lebih murah. Itu realiti yang berlaku sekarang namun peniaga tidak seharusnya patah semangat kerana cabaran adalah lumrah.

“Usah kita terlalu fokus kepada hal tersebut tetapi carilah kekuatan dari segi lain yang membolehkan kita untuk terus bersaing di pasaran pada hari ini. Misalnya syarikat kami, FM Group akan bersaing dari segi kualiti.

“Tidak dinafikan barangan dari negara luar lebih murah namun tidak semestinya kualitinya bagus, jadi kami pastikan pelanggan mendapat barangan terbaik setanding harga yang ditawarkan. Itu yang membuatkan pelanggan akan tetap setia,” ujarnya.

Mula bergiat aktif dalam bidang rekaan fesyen pada tahun 2012, Farel dan Jonathan kini dikenali bukan sahaja di Malaysia bahkan di persada antarabangsa melalui label Farel Mikhail dan Precious Of Malaysia.

“Kami sebenarnya ingin membantu pereka muda untuk bergiat aktif dalam dunia fesyen kerana sedar ramai di luar sana yang berbakat besar serta mempunyai idea yang kreatif.

“Disebabkan itu, kami turut membuka peluang kepada pereka di luar sana untuk memperkenalkan rekaan dalam International Cultural Fashion Week (ICFW) yang akan berlangsung pada 2 hingga 4 Ogos ini di Menara Affin @ TRX, Kuala Lumpur.

“Untuk terjun dalam bidang fesyen ini bukan sahaja memerlukan pereka mencipta pakaian mengikut trend serta cita rasa pelanggan tetapi minat merupakan faktor penting agar ia tidak hanya separuh jalan sahaja,” ujarnya yang dahulu merupakan seorang jurutera.

Sementara itu, Jonathan berkata, Precious Of Malaysia mempertaruhkan rekaan batik dengan konsep moden dan kontemporari untuk dibawa ke peringkat antarabangsa sekali gus memartabatkan pakaian tradisi Melayu.

“Kami juga mempunyai pelanggan dalam kalangan peserta ratu cantik yang memperagakan batik di pentas peragaan. Biasanya kita lihat peserta pakai baju seksi tetapi apabila kita ketengahkan suntikan elemen batik, respons yang diterima di luar jangkaan serta ramai yang teruja dengan keindahan yang ditonjolkan,” ujarnya. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas