Berita

Fokus ke Olimpik LA28

- Diterbit 28 Oktober 2024 8:32 PM MYT

PENGLIBATAN lebih banyak pihak swasta diperlukan bagi memperkasa sukan ekstrem seperti papan selaju di negara ini berikutan acara itu sudah mendapat tumpuan di temasya sukan berprestij dunia.

Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Adam Adli Abd Halim berkata ini selaras dengan dasar Kementerian Belia dan Sukan (KBS) untuk menggiatkan aktiviti sukan selain mewujudkan peluang kerjaya dalam sektor itu.

“KBS mahu melihat atlet sukan ekstrem negara bertanding di Sukan Olimpik dan bersedia menggerakkan usaha bagi merealisasikan impian itu.

“Saya rasa terdapat keterujaan dan keinginan dalam kalangan sektor swasta untuk menggerakkan sukan ekstrem ini.

“Sukan ini semakin mencabar dan menarik minat orang ramai, saya berpendapat terdapat pasaran yang luas dalam sukan ini dan selaras dengan dasar kita memang kita perlu kerjasama daripada pihak swasta,” katanya kepada pemberita sejurus Majlis Perasmian Program Extreme Jam 2024 di Kompleks Sukan Bukit Kiara pada Sabtu.

Dalam pada itu, Adam berkata beliau berpuas hati dengan Belanjawan 2025 yang diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang memberi penekanan terhadap pembangunan sukan meskipun ia memerlukan kos yang tinggi.

“Saya rasa ini merupakan bajet yang komprehensif dalam usaha dan persediaan untuk temasya sukan, selain isu pembangunan sukan itu sendiri dan saya mengharapkan kerjasama daripada semua pihak untuk menyokong inisiatif ini.

“Sukan adalah mahal, namun kita perlu menyediakan yang terbaik untuk memastikan kemajuan sukan di negara kita,” ujar beliau.

Sementara itu, Presiden Patriot Skateboard Club, Hairulzain Fauzi berkata belia yang terlibat dalam sukan berkenaan perlu diasah bakat mereka selain mengenal pasti mereka yang berpotensi.

“Diharapkan sukan ini dapat merancakkan kembali aktiviti sukan ekstrem menerusi penganjuran pelbagai program dan pertandingan.

“Masa depan papan selaju di Malaysia cerah, melihat kepada lambakan bakat baharu yang muncul menghiasi arena sukan ekstrem itu ketika ini.

“Seiring dengan popularitinya berjaya menarik perhatian generasi muda, tidak mustahil suatu hari nanti Malaysia mampu melahirkan jaguhnya sendiri untuk berentap di tahap tertinggi seperti di Sukan Olimpik.

“Lazimnya sukan papan selaju atau skateboard lebih didominasi pemain dewasa kerana corak permainannya yang ekstrem tetapi hari ini kita berjaya mengumpulkan ramai atlet cilik di sini. Buktinya hampir 200 atlet papan selaju dari seluruh negara berjaya dikumpulkan dalam Program Extreme Jam 2024,” ujarnya.

Dalam masa sama, Hairulzain berkata melalui program yang dijalankan ini, ia dapat mempromosi, memperluaskan lagi industri sukan papan selaju sekali gus dapat menghasilkan impak positif kepada komuniti serta semua golongan masyarakat. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas