Atlet Wilayah

Fokus jadi usahawan berjaya Nazirul Hadi tinggalkan dunia silat

Nazirul Hadi (dua kanan) bersama skuad silat Wilayah Persekutuan.
- Diterbit 13 Oktober 2023 1:00 AM MYT

Oleh: SABRINA SABRE

ATLET silat Wilayah Persekutuan, Muhammad Nazirul Hadi Abdul Majid, mengucapkan selamat ­tinggal ­kepada dunia persilatan yang ­menjadi sebahagian kehidupannya sejak tujuh tahun lalu.

Didorong keinginan untuk ­mencuba sesuatu yang baharu, Nazirul mengambil langkah berani menceburi bidang perniagaan ­untuk menjana pendapatan ­sekali gus ­mencapai cita-citanya untuk ­menjadi seorang usahawan yang berjaya suatu hari nanti.

Mengenang permulaannya dalam sukan silat, atlet berusia 21 tahun ini berkata minat yang mendalam terhadap sukan tersebut tercetus sejak di bangku sekolah lagi.

“Sejujurnya minat menjadikan saya lebih bersemangat ditambah ­pula dengan dorongan kaum keluarga yang tidak putus-putus memberikan galakan dan sokongan yang tidak berbelah bahagi,” ujarnya kepada Wilayahku.

Berkongsi keistimewaan ­silat, atlet muda ini berkata seni itu ­dianggapnya cukup indah ­kerana mempersembahkan gerakan ­unik, nampak hebat dan memupuk ­perasaan berani ketika berdepan ­pihak lawan.

“Silat merupakan antara seni mempertahankan diri yang ­popular di seluruh dunia. Gerak langkah ­dalam seni bela diri itu juga ­antara cara terbaik untuk anak remaja membina kecergasan, disiplin diri dan kemahiran sosial,” ujarnya.

Tambahnya, biarpun tidak ­lagi terlibat dalam sukan tersebut ­namun dia akan memanfaatkan ­sebaiknya ilmu seni bela diri yang dipelajari selama ini dengan sebaiknya.

“Silat banyak membawa ­kebaikan jika kita ­mempelajarinya. Ia ­membuatkan saya menjadi ­seorang yang lebih fokus dengan keadaan sekeliling mahupun apa ­sahaja ­dalam kehidupan ini.

“Contohnya ketika ­berlatih di ­gelanggang, saya akan ­memberikan fokus penuh ­bagi ­memperbaiki pencapaian, ­memperkukuhkan kemahiran dan bersedia untuk pertandingan. Perkara tersebut terbawa-bawa dalam kehidupan seharian.

“Melaluinya juga menjadikan saya seorang yang menumpukan ­perhatian ketika sesi ­pembelajaran dan kuliah seterusnya ­dapat ­menguasai akademik dengan baik,” ujar bekas pelajar di Sekolah Menengah Kebangsaan Seri Titiwangsa ini.

Menjadikan pesilat negara Indonesia, Iqbal Chandra Pratama sebagai idolanya kerana kekuatan mental yang terdapat pada ­lelaki tersebut, Nazirul berkata atlet tersebut sentiasa tenang ketika di gelanggang.

“Ternyata sukan silat ini ­bukan sahaja meletakkan diri dalam keadaan yang tenang tetapi ­dalam masa yang sama juga mendidik ­kita menjadi seorang yang kuat dari segi mental,” ujar anak sulung daripada empat orang adik-beradik ini. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas