FESTIVAL Floria Diraja Putrajaya (FRP) 2024 mencatatkan kehadiran lebih 800,000 pengunjung pada penganjuran kali ke-13, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Dr Zaliha Mustafa.
Beliau berkata festival yang berlangsung selama 11 hari itu telah berakhir semalam.
Semalam, beliau turut menyempurnakan majlis penutup Floria Diraja Putrajaya 2024.
Menurutnya, penganjuran Floria Diraja Putrajaya 2024 itu merupakan usaha menyokong kelestarian aspek pelancongan, sosio ekonomi dan alam sekitar.
“Ini merupakan antara enam fokus utama dalam kluster Sejahtera@WP,” katanya di Facebook.
Majlis itu turut meraikan para pemenang pertandingan taman yang disertai oleh 30 agensi kerajaan dan syarikat korporat dalam merebut pelbagai kategori anugerah dipertandingkan.
“Syabas dan tahniah saya ucapkan kepada Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) atas kejayaan merangkul Floria Garden Prime Award 2024 dan Floria Most People’s Choice Garden Award pada tahun ini.
“Kejayaan ini secara tidak langsung mencerminkan usaha pihak DBKL dalam memperkasa serta mempamerkan flora dan fauna bukan sahaja di Kuala Lumpur, malah juga di Putrajaya,” katanya. – WILAYAHKU