Berita

Floria Diraja Putrajaya 2024: Catat 800,000 pengunjung

BUNGA mekar di Floria Diraja Putrajaya 2024.
- Diterbit 6 September 2024 4:10 PM MYT

FESTIVAL Floria Diraja Putrajaya (FRP) 2024 mencatatkan kehadiran lebih 800,000 pengunjung pada penganjuran kali ke-13 yang berlangsung selama 11 hari bermula pada 22 Ogos dan telah berakhir pada 1 September lalu.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Dr Zaliha Mustafa menyifatkan kehadiran pengunjung pada festival tersebut amat menakjubkan.

“Saya nampak perjalanan dan sambutan FRP 2024 amat baik sekali dengan kunjungan daripada pelbagai peringkat masyarakat dalam dan luar Putrajaya,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas menghadiri Majlis Apresiasi dan Penyampaian Hadiah Floria Diraja Putrajaya 2024 di Persisiran Tasik, Presint 2, Putrajaya baru-baru ini.

Tambah Zaliha, penganjuran Floria Diraja Putrajaya 2024 itu merupakan usaha menyokong kelestarian aspek pelancongan, sosioekonomi dan alam sekitar.

“Ini juga merupakan antara enam fokus utama dalam kluster Sejahtera@WP,” ujarnya.

Majlis tersebut juga turut meraikan para pemenang pertandingan taman yang disertai daripada 30 agensi kerajaan dan syarikat korporat.

“Syabas dan tahniah saya ucapkan kepada Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) atas kejayaan merangkul Floria Garden Prime Award 2024 dan Floria Most People’s Choice Garden Award pada tahun ini.

“Kejayaan ini secara tidak langsung mencerminkan usaha pihak DBKL dalam memperkasa serta mempamerkan flora dan fauna bukan sahaja di Kuala Lumpur, malah juga di Putrajaya,” katanya.

Zaliha turut menyampaikan penghargaan kepada barisan pemenang-pemenang lain yang telah memberikan sebaiknya pada Floria Diraja Putrajaya 2024.

Penganjuran Floria Diraja Putrajaya kali ke-13 anjuran PPj dengan sokongan Jabatan Wilayah Persekutuan, bertemakan Raikan Bersama.

Bermula 2007, Floria Diraja Putrajaya merupakan salah satu produk pelancongan PPj bertaraf antarabangsa yang telah menarik ribuan pelancong dan pengunjung dari dalam dan luar negara ke Putrajaya.

Terdahulu, Bunga Petunia dipilih sebagai tema Floria Diraja Putrajaya 2024 kerana keunikan struktur pertumbuhan, keindahan warna kelopak bunganya yang cantik dan menjurai dapat menyuntik elemen estetika seumpama menerangi dan menceriakan para pengunjung. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas