FLORIA Diraja Putrajaya 2024 membuka tirai pada 22 Ogos hingga 1 September dengan penuh warna-warni. Segala persiapan dan perancangan disusun rapi dalam usaha melancarkan festival bunga dan taman yang membawa dimensi baru dengan tarikannya yang tersendiri.
Festival kali ke-13 yang diadakan di Persisiran Tasik, Presint 2, Putrajaya itu menyasarkan kehadiran lebih daripada 1 juta orang pengunjung. Pembukaan acara yang bermula pada pukul 9 pagi hingga 10 malam itu diserikan dengan kehadiran Raja Permaisuri Agong, Raja Zarith Sofiah di Pentas Utama Floria.
Menurut Presiden Perbadanan Putrajaya (PPj), Datuk TPr Fadlun Mak Ujud, penganjuran Floria Diraja Putrajaya yang bertemakan Raikan Bersama! itu bakal mengetengahkan bunga petunia sebagai bunga tema kerana keunikan struktur pertumbuhan, keindahan warna kelopak bunganya yang cantik dan menjurai dapat menyuntik elemen estetika seumpama menerangi dan menceriakan para pengunjung.
“Festival ini akan mempamerkan lebih 700,000 bunga-bungaan dan tumbuh-tumbuhan pelbagai warna dan kegunaan yang saya percaya pasti ada di antaranya yang tidak pernah kita lihat sebelum ini.
“Uniknya, festival ini bukan sahaja mempamerkan kepelbagaian bunga berwarna-warni dalam reka bentuk landskap yang indah tetapi turut dijual di gerai tapak festival. Pengunjung pasti terpesona seakan berada di negara Eropah kerana dikelilingi ratusan ribu jenis pokok, tumbuhan dan bunga-bungaan.
“Saya percaya dengan kerjasama dan sokongan yang diberikan semua pihak, Floria Diraja Putrajaya 2024 mampu mencapai satu tahap lebih tinggi dalam melonjakkan semula ekonomi terutama industri nurseri dan bunga-bungaan di Malaysia,” ujarnya.
Beliau berkata Floria Diraja Putrajaya 2024 akan memaparkan komponen-komponen baharu yang dijangka akan menarik minat orang ramai terdiri daripada pelbagai golongan dan usia.
“Tarikan utama pameran adalah taman yang dibina oleh lebih daripada 30 jabatan dan agensi kerajaan termasuk PPj sendiri, agensi korporat dan swasta, persatuan dan pengusaha bunga serta komuniti Putrajaya yang bakal mengetengahkan gabungan idea segar, teknik tersendiri serta reka bentuk unik dalam seni pameran taman.
“Antara agensi dan syarikat yang turut serta dalam pameran tersebut adalah Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), Perbadanan Labuan (PL), Jabatan Landskap Negara (JLN), Majlis Perbandaran Sepang (MPS), Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ), Majlis Bandaraya Seremban (MBS), Majlis Bandaraya Iskandar Puteri (MBIP), Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB), Putrajaya Holdings (PjH), Pulse Group dan lain-lain.
“Tarikan lain adalah Astaka Flora iaitu pameran bunga-bungaan indoor yang menghimpunkan penyertaan dari 10 buah negara iaitu Malaysia, Thailand, Vietnam, Singapura, Filipina, Taiwan, Jepun, Hong Kong, Indonesia dan Brunei bagi kategori gubahan bunga (flower bouquet), pameran dan pertandingan pelbagai kategori orkid, bonsai serta terarium,” ujarnya.
“Astaka Flora membawakan tema Tropical Wonders Highland & Lowland dengan menjanjikan keindahan koleksi tumbuhan tropika yang menyuntik suasana segar dan nyaman dalam hiasan taman serta bunga-bungaan. Terdapat juga Taman Malaysia MADANI dan Taman Diraja yang menjadi tarikan utama bersempena sambutan Hari Kebangsaan ke-67,” ujarnya.
Dalam masa sama, Fadlun berkata untuk penganjuran kali ini, lebih daripada 100 aktiviti sampingan diadakan seperti bengkel, demonstrasi, larian, berbasikal dan persembahan pentas sepanjang acara berlangsung.
“Sebanyak 30 lot gerai jualan Garden Bazaar disediakan yang terdiri daripada jualan orkid (pelbagai spesies orkid hibrid dan hutan), pokok buah-buahan, perabot landskap, produk fertigasi dan hidroponik, pelbagai jenis baja dan pasu, produk berasaskan rotan serta tanaman landskap yang lain seperti petunia, ros, bunga raya, heliconia, bunga kertas, caladium, monstera dan banyak lagi.
“Kami juga menawarkan 14 lot gerai jualan Community Garden dengan penglibatan jualan hasil dan produk pertanian bandar dari Kebun Komuniti Putrajaya, pameran dan pemberian khidmat nasihat pertanian daripada Jabatan Pertanian dan Malaysian Agricultural Research and Development Institute (MARDI) serta lapan lot gerai jualan kraf tangan oleh Perbadanan Kemajuan Kraftangan Malaysia (PKKM) yang menjual pelbagai produk kraf tangan, batik, songket, perhiasan dan lain-lain.
“Pihak PPj turut menyediakan kawasan jualan makanan dan minuman unik yang dikenali sebagai Feast Garden dengan 164 gerai jualan terdiri daripada masakan tempatan dan antarabangsa, makanan jalanan popular, hidangan eksotik dan pencuci mulut dengan kapasiti 300 tempat duduk bagi memudahkan pengunjung menikmati makanan serta minuman yang dibeli sambil menonton Persembahan Eco Culture, World Music Buskers, Upcycling Drum Tribe, Fire Breather Showdown, Rimba Seruling Music, Malam Selawat & Tausiah (Manusia & Alam), Sape Didgeridoo Jam dan Magunatip Dance,” ujarnya.
Bagi pengunjung yang hadir, beliau berkata pihaknya turut menyediakan kemudahan surau kabin sebanyak dua unit yang boleh memuatkan seramai 15 orang dalam satu masa dan dua unit surau di Ancillary Building yang boleh memuatkan seramai 10 orang.
“Selain tandas sedia ada di Ancillary Building, tandas di Monumen Alaf Baru, tandas tambahan turut disediakan bagi tandas Diraja (dua unit), tandas kabin VIP (dua unit), tandas Orang Kurang Upaya (OKU) (dua unit) dan 60 unit tandas bergerak untuk orang awam. Kemudahan kawasan parkir pula boleh memuatkan sebanyak 300 unit bagi VIP dan urus setia manakala 700 unit bagi pengunjung yang hadir.
“Dalam masa sama, kawalan 20 orang anggota Penguat Kuasa PPj bagi setiap syif bersama 12 anggota RELA telah diselaraskan bagi mengawal lalu lintas dan aliran trafik serta kawasan parkir. Kemudahan tiga unit shuttle bus secara percuma turut disediakan dengan kekerapan selama 15 minit bermula dari pukul 7.30 pagi sehingga 10.30 malam (Isnin hingga Jumaat) dan sehingga pukul 12.30 malam bagi hari Sabtu dan Ahad.
“Kemudahan pengangkutan air turut disediakan iaitu satu unit bot cruise dan dua unit teksi air yang boleh dinaiki melalui enam jeti utama (Monumen Alaf Baru, Kelab Tasik, Ayer 8, Marina Putrajaya, Anjung Floria dan Taman Botani Putrajaya),” ujarnya.
Dalam pada itu, beliau berkata penganjuran festival itu bertepatan dengan matlamat perancangan dan pembangunan pusat pentadbiran Kerajaan Persekutuan yang berkonsepkan intelligent garden city dengan menggabungkan elemen moden, pintar dan alam semula jadi.
“Festival ini bukan sahaja menyajikan keindahan bunga dan tumbuh-tumbuhan yang terdapat di dalam dan luar negara kepada para pengunjung malah turut menambah seri keindahan seni bina Putrajaya yang tersergam megah dengan keunikan dan ciri tersendiri.
“Penganjuran festival ini juga dilihat amat bertepatan dengan semangat meraikan Bulan Kebangsaan kerana Putrajaya sekali lagi menjadi tuan rumah sambutan Hari Kebangsaan pada 31 Ogos ini,” ujarnya.
Sementara itu, Fadlun berkata penganjuran acara besar dan bertaraf antarabangsa seperti ini membuktikan komitmen berterusan Jabatan Wilayah Persekutuan (JWP) melalui agensinya untuk terus membangun dan memajukan Putrajaya.
“PPj turut berbesar hati menerima kerjasama erat daripada rakan penaja iaitu Putrajaya Holdings, Telekom Malaysia, Victron Outdoor Furniture Sdn Bhd dan Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (MAPIM). Selain itu, radio KoolFM 101 turut berperanan sebagai rakan radio bagi penganjuran kali ini,” ujarnya. – WILAYAHKU