DAKWAH menerusi lagu adalah salah satu cara untuk menyampaikan mesej melalui seni muzik. Dakwah adalah amalan mulia yang dianjurkan oleh Rasulullah SAW untuk diamalkan dalam kehidupan seharian.
Itulah matlamat sebenar Fitri Haris bersama kumpulan nasyidnya, UNIC apabila menceburi bidang seni.
“Dakwah membawa maksud mengajak sesama manusia kepada hidup Islam. Setiap yang mengaku diriya sebagai seorang Muslim berkewajipan melakukan dakwah.
“Begitulah matlamat saya mahu terus berdakwah menerusi lagu-lagu nasyid. Dari dulu lagi, rasa tanggungjawab ini tak pernah padam.
“Pelbagai pendekatan terbaik dakwah sangat diperlukan khasnya dalam dunia global yang penuh cabaran ini. Kita berhadapan dengan zaman keruntuhan akhak yang berleluasa di segenap lapisan masyarakat.
“Dalam berdakwah, Islam telah pun memberi garis panduan asas. Mengajak manusia ke jalan Allah SWT perlu secara hikmah, dengan peringatan yang baik dan menyampaikannya dengan cara paling elok.
“Sebagai penyanyi nasyid, kita tahu manusia sukakan lagu dan menghabiskan masa dengan mendengar lagu dan menghayati liriknya,” katanya.
Fitri berkata demikian ketika ditemui sejurus malam kemuncak Anugerah Carta 114 di Kompleks Pusat Islam, Kuala Lumpur, baru-baru ini.
Apa yang istimewa, lagu berjudul Sirih Pulang Ke Gagang, hasil ciptaan Akmal Mustafa dan Aniq Muhai yang dipersembahkan oleh UNIC dinobatkan sebagai Lagu Terbaik pada Anugerah Carta 114 musim kedua sekali gus membawa pulang hadiah utama RM20,000.
Selain hadiah utama, UNIC yang turut dianggotai Bazli dan Fakhrul merangkul Anugerah Vokal Terbaik dan memenangi wang tunai RM10,000.
“Jujurnya perasaan kami bercampur-baur dan tak percaya. Kami bersatu buat pertama kali malam itu kerana masing-masing ada komitmen lain.
“Malah saya sendiri baru sampai dari United Kingdom, semalam dan sudah tentulah sesi latihan kami dilakukan secara berasingan.
“Bagi kami, ini rezeki-Nya. Kami sempat berlatih sama dalam kereta. Apapun, mungkin inilah bukti 23 tahun keserasian yang dapat kami capai walau tidak bersama,” ujarnya.
Sementara itu, kumpulan Darwish menerima Anugerah Persembahan Terbaik dan membawa pulang wang tunai RM10,000 menerusi lagu Abu Ubaidah ciptaan Faiz Darwish.
Selain UNIC dan Darwish, lima peserta lain yang berentap di pentas Anugerah Carta 114 yang berlangsung malam tadi adalah Kumpulan Rabithah, Kumpulan Madinah, Haadi, Idris Shamsuddin dan duo Halim Ahmad dan Aiman Sidek.
Dalam pada itu, Ketua Pegawai Operasi TV AlHijrah, Puan Nadzariah Mohamed berkata, tujuan Anugerah Carta 114 diadakan adalah untuk memartabatkan industri nasyid di Malaysia dan secara tidak langsung menyampaikan dakwah kepada orang ramai.
“Bait-bait lirik dalam nasyid memang membawa ke arah kebaikan dan ini merupakan salah satu platform untuk mendidik jiwa seseorang.
“Insya-Allah TV AlHijrah akan teruskan dalam mendidik masyarakat. Ini juga platform untuk penggiat seni muzik Islam supaya dapat berada di arus perdana,” katanya. – WILAYAHKU