KECOH dan menjadi bualan hangat dalam media sosial isu yang melibatkan Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT), Datuk Aiman Athirah Sabu yang dituduh kononnya mempromosi minuman arak di sekolah.
Rata-ratanya mengecam tindakan beliau sebagai seorang Islam yang sanggup mempromosi arak kerana takut dan ‘patuh’ kepada parti DAP yang disifatkan mempunyai ‘pengaruh besar’ dalam kerajaan.
Dalam masa yang sama, terdapat juga pihak yang menangguk di air keruh dengan membuat paparan gambar Aiman Athirah bersebelahan sebuah tin minuman keras yang telah ditukarkan logonya kepada logo parti AMANAH.
Demi memperjuangkan kebenaran, Parti Amanah Negara (AMANAH) Wilayah Persekutuan membuat laporan polis terhadap dua pemilik akaun Facebook yang didakwa memfitnah Ahli Parlimen Sepang itu.
Memetik Pengarah Biro Komunikasi AMANAH Wilayah Persekutuan, Mejar (B) Razali Zakaria berkata paparan itu berniat untuk menjatuhkan reputasi Aiman Athirah.
“Saya difahamkan Aiman Athirah akan mengambil tindakan undang-undang terhadap pemilik akaun itu kerana ia turut membabitkan imej AMANAH,” katanya.
Sementara itu, Setiausaha Pemuda Amanah Wilayah Persekutuan, Hafizzuddin Razian pula menggesa orang ramai supaya berhenti menyebar fitnah di media sosial.
“Penyebaran fitnah dikesan semakin berleluasa dengan sebelum ini, kami ada membuat laporan polis terhadap pempengaruh yang membuat kenyataan fitnah di media sosial.
“Disebabkan itu, kami mahu pihak berkuasa mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana pihak yang menyebarkan kenyataan fitnah,” katanya.
Baru-baru ini, media melaporkan Aiman Athirah akan mengambil tindakan undang-undang terhadap seorang pemilik akaun sekiranya individu itu tidak menurunkan hantaran dan menghentikan sebaran fitnah.
Aiman Athirah dilaporkan berkata, pasukannya sedang mengumpul semua maklumat dan berita palsu berkaitan.
Bukan itu sahaja, sebelum ini, Aiman Athirah kesal usaha membangunkan pendidikan di Parlimen itu ‘tenggelam’ selepas tular gambar pembabitan sebuah syarikat minuman keras yang hadir sebagai salah satu penyumbang.
Menurutnya, beliau mengambil maklum mengenai gambar tular di media sosial memaparkan dirinya bersama individu lain dengan sebuah replika cek sumbangan syarikat arak berjumlah RM3 juta.
Katanya, Lembaga Pengurusan Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) itu menjemput semua penyumbang termasuk beliau yang menyumbang sejumlah dana.
“Terdapat juga penyumbang persendirian, penduduk, alumni dan syarikat arak yang hadir pada program itu untuk membeli meja bagi menambah kutipan dana sekolah,” katanya melalui kenyataan dikongsi di Facebook (FB).
Baru-baru ini, Aiman Athirah memenuhi undangan daripada Lembaga Pengurusan SJKC di Sepang bagi menghadiri Konsert Amal Pendidikan bertujuan membuat kutipan membina dewan sekolah yang didirikan sejak 30 tahun lalu.
Program itu dirasmikan oleh Exco Selangor, Ng Suee Lim dan turut dihadiri Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Sungai Pelek, Lwi Kian Keong.
Aiman Athirah berkata beliau hadir ke program itu bagi memberi sokongan kepada pihak sekolah mengumpul dana membina dewan bagi keselesaan murid dan tidak mempunyai niat lain.
Nampaknya tidak perlu disensasikan isu tersebut memandangkan kehadirannya hanya sebagai tanda komitmen dalam isu pendidikan anak-anak di kawasan itu. – WILAYAHKU