Berita

Fitnah media sosial, sudah ketinggalan zaman

PENYEBARAN berita palsu beri kesan negatif kepada masyarakat. - Gambar hiasan
- Diterbit 21 Julai 2023 2:00 AM MYT

MEDIA sosial kini ­dilihat sebagai platform ­paling ­berpengaruh untuk ­digunakan sebagai senjata oleh pihak tertentu bagi menyebarkan fitnah ­sekali gus menjatuhkan ­pihak lawan.

Apa yang lebih ­membimbangkan, fitnah berbentuk penulisan dan ­hantaran yang disebarkan ­golongan tidak bertanggungjawab ­dikhuatiri ­mengganggu gugat perpaduan kaum sekali gus ­memberi impak besar ­kepada negara.

LIYANA

Peguam dan ­penulis bebas, Liyana Marzuki ­berpandangan ­agak sukar ­untuk ­menghentikannya namun ­didikan adalah salah ­satu cara untuk menurunkan impak ­fitnah dalam masyarakat.

“Lumrah manusia itu ­sukakan ­perkara yang sensasi ­kerana ia ­mudah mendapat perhatian ­namun pengguna sendiri perlu bijak dan tidak sewenang-wenangnya ­pajak ­pemikiran untuk menerima bulat-bulat maklumat yang sampai.

“Didikan yang diterapkan ­antaranya semak dahulu info ­secara betul berdasarkan f­akta dan ­data sebelum mengambil keputusan ­untuk percaya sedikit ­sebanyak dapat menurunkan impak ­fitnah itu ­sendiri,” ujar beliau kepada Wilayahku.

Mengulas lanjut, beliau yang ­juga aktivis politik berkata ­selepas 66 ­tahun negara mencapai kemerdekaan, seharusnya perkara berunsur ­fitnah tidak lagi ­menjadi agenda utama menjatuhkan pihak lain.

“Kita berlawan bukan atas ­perkara fitnah kerana jika digunakan ia ­merupakan senjata yang paling terdesak dan saya kira perkara ini sudah jauh ketinggalan zaman,” ­kata beliau.

Sebelum ini Setiausaha Politik kepada Perdana Menteri, Ahmad Farhan Fauzi membuat ­laporan polis terhadap individu yang ­mengeluarkan dan menyebar ­kenyataan palsu ­bersifat memfitnah Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

“Sepatutnya ia berlandaskan idea, dasar dan strategi. Menyentuh ­perkara-perkara peribadi ­seseorang, mencipta perkara baharu yang tidak betul semata-mata untuk meraih perhatian menunjukkan pemfitnah ini adalah golongan terdesak yang tak ada merit atau ­kelebihan ­masing-masing, disebabkan itu mereka mengambil jalan pintas yang mudah,” ujarnya.

Terdahulu, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) memaklumkan akan ­bertindak lebih tegas ­terhadap penyebaran fitnah termasuk di ­media sosial bagi mengekang salah guna jenayah siber.

Berdasarkan statistik, MCMC menerima sebanyak 3,111 aduan mengenai kandungan yang ­dianggap sebagai berita palsu bagi tempoh 2020 hingga 31 Mei 2022.

Sebarang perkongsian kandungan bersifat palsu, jelik dan ­mengancam adalah satu kesalahan di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998, yang disabit ­kesalahan boleh didenda maksimum RM50,000 atau penjara setahun atau kedua-duanya sekali. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas