Berita

Filem seram Polong lari dari acuan filem Hollywood dan Korea Selatan

- Diterbit 28 Februari 2025 11:15 AM MYT

TIDAK mahu filem seram tempatan hanya dilihat gah di negara sendiri, pengarah filem seram Polong, Zulkarnain Azhar bercita-cita tinggi untuk membawa filem itu ke persada dunia.

Bakal menjalani penggambaran pada Mei nanti, Zulkarnain juga pengarah filem box-office antaranya J Revolusi, Air Force The Movie : Selagi Bernyawa dan Takluk, berkata dia mahu menyuntik lebih banyak elemen tempatan ke dalam filem itu.

Selain itu juga kata Zulkarnain, dia mengelak daripada terpengaruh dengan acuan filem seram Hollywood dan Korea Selatan seperti kebanyakan filem seram lain di negara ini.

“Saya nak janjikan kelainan kerana filem seram yang ada banyak mengikut acuan luar. Tapi untuk Polong saya nak terapkan budaya dan tradisi serta kisah rakyat yang sepatutnya diketengahkan dalam filem kita.

“Polong diinspirasikan daripada kisah seram sebenar yang berlaku sekitar 90-an. Ia mengisahkan mengenai bomoh terkenal yang menghadapi hukuman gantung, dan apa yang ingin saya paparkan dalam filem itu nanti adalah hari-hari terakhir beliau sebelum menjalani hukuman.

“Saya juga ingin menyatakan hasrat untuk mengangkat filem melayu ke kita ke persada dunia. Kebanyakan filem Melayu hanya menang di peringat domestik, setakat ini belum ada lagi filem seram yang berjaya di bawa ke luar.

“Jadi impian saya nak tengok Polong menembusi persada dunia,” katanya.

Polong membariskan Nam Ron, Nadiya Nisaa, June Lojong, Fad Anuar dan Mimi Lana,

Sementara itu, penerbit eksekutif Golden Star Pictures Sdn Bhd (GSPSB), Onn Norshal Hamzah, berkata pihaknya yakin hasil kerja Zulkarnain pasti menjadi satu naskah yang ditunggu oleh pencita filem seram tempatan.

Onn Norshal juga yakin Polong boleh menembusi pentas antarabangsa tanpa memerlukan bajet yang besar.

Menjadikan filem Roh sebagai penanda aras, Onn Norshal, berkata filem itu berjaya pergi jauh biarpun hanya dengan bajet RM300,000.

“Filem Thailand tidak memerlukan bajet yang tinggi pun tapi filem mereka boleh pergi jauh. saya pernah terbabit sebagai panel filem di Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia(FINAS), jadi saya tahu berapa jumlah peruntukkan untuk sesebuah filem.

“Bagi saya bajet RM2.5 juta yang kami khususkan untuk membiayai projek filem ini memadai berdasarkan jalan cerita Polong.

“Setakat ini 16 panggung wayang di Kemboja sudah mengesahkan untuk menayangkan Polong di sana. Apa yang penting kena tahu saluran yang betul,” katanya.

Polong mengisahkan mengenai Maria Hadi, seorang wanita yang hidup dengan amalan ilmu hitam
dan dosa lampaunya, namun cuba mencari keampunan ketika akhir hayatnya.

Sehinggakan dia terpaksa melepaskan polong belaan kepada orang yang tidak sepatutnya, tetapi polong berkenaan ingin membalas dendam selepas kematian Maria dan sumpah laknatnya perlu dihadapi oleh pewaris Maria.

Polong menyaksikan pembabitan 10 Star Cinemas Sdn Bhd sebagai pengedar dan agen pasaran filem.-WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas