Selebriti

Filem pupuk patriotisme

- Diterbit 2 Ogos 2024 4:27 PM MYT

BULAN ini genaplah 67 tahun negara kita bebas daripada cengkaman penjajah. Menerusi kemerdekaan itu kita dapat hidup dalam suasana aman makmur tanpa perlu tunduk dengan mana-mana kuasa luar.

Sempena sambutan hari yang cukup bersejarah ini, ayuh kita semarakkan semangat cintakan negara dengan menonton filem yang dapat memupuk semangat patriotik dalam diri.

Antara filem yang pastinya menjadi pilihan adalah Paskal, Ola Bola, MALBATT: Misi Bakara, Mat Kilau, Hati Malaya, Bukit Kepong dan Sarjan Hassan.

Terbaharu, anda juga ­dialu-alukan untuk menonton filem Harimau Malaya yang bakal ditayangkan di pawagam pada 15 Ogos ini.

Kukuh perpaduan

PELAKON Riz Amin berpendapat filem sejarah, patriotik atau genre lain yang memupuk semangat cintakan negara memainkan peranan penting dalam masyarakat.

Riz yang pernah membintangi filem patriotik seperti Tanda Putera dan 29 Februari ini melihat perpaduan sesama kaum adalah cara kita menghormati sebuah kemerdekaan.

“Filem-filem sebegini amat penting untuk ditonton kerana ia memberi  penekanan kepada negara bangsa, semangat nasionalisme dan patriotisme. Tambahan pula, ia memaparkan kehidupan masyarakat di akar umbi yang berjuang mempertahankan diri, keluarga, kebajikan, agama dan negara.

“Menerusi filem sebegini juga, kita dapat merasai dan menjiwai susah payah pahlawan terdahulu dalam memerdekakan negara kita.

“Membaca tentang kemerdekaan sahaja tidak cukup. Pentingnya filem kita boleh melihat secara visual dan lebih memberi kesan di hati,” ujarnya.

Menurut Riz lagi, filem-filem yang memupuk semangat cintakan negara juga diterapkan dalam filem bergenre lain seperti komedi, cinta, komedi romantik, kekeluargaan dan sebagainya.

“Misalnya Ola Bola pada tahun 2016. Filem ini mempunyai beberapa genre yang digabungkan dan  ia menjurus kepada mempuk semangat patriotik. Dalam masa yang sama, ia menjadi penyebab kepada kejayaan karya berkenaan di pawagam.

“Filem ini juga boleh menyatukan bangsa Melayu, Cina dan India menerusi satu acara iaitu bola sepak,” katanya.

Bawa kesedaran diri

PENYANYI dan pelakon popular, Ayda Jebat menganggap filem sejarah atau patriotik boleh memberi kesedaran kepada masyarakat agar menghargai perpaduan serta keharmonian yang telah lama dibina.

“Filem berkonsepkan kenegaraan tidak hanya menceritakan tentang peperangan malah semangat perpaduan juga boleh menyemarakkan semangat patriotik dalam jiwa rakyat Malaysia.

“Dalam negara yang berbilang kaum, keharmonian perlu sentiasa dijaga secara berterusan agar tidak berlakunya perpecahan sesama kita.

“Ya, memang bukan senang untuk pastikan keharmonian dapat dipelihara khususnya dalam masyarakat majmuk tetapi jika perpaduan diperkuatkan, keamanan ini terus kekal sampai bila-bila.

“Sedar atau tidak, filem yang memaparkan keharmonian kaum mampu memberi kesedaran kepada rakyat agar dapat bersama-sama memperkukuhkan semula perpaduan kaum yang adakalanya tampak goyah,” katanya.

Sempena meraikan Hari Kebangsaan yang ke-67, Ayda juga menyeru agar rakyat Malaysia menonton filem-filem yang cenderung kepada unsur perpaduan.

“Aspek-aspek yang turut ditonjolkan dalam filem ini seperti perbezaan agama, budaya, bahasa dan kelas sosial membuatkannya unik dan dekat dengan realiti hidup rakyat Malaysia.

“Tambahan pula, ada babak-babak dalam filem tersebut mampu membuatkan anda menangis bukan sebab sedih tetapi rasa bangga dan lebih sayang kepada negara. Itu yang mahal,” tambahnya.

Tarik golongan muda

PENERBIT terkenal, Datuk Normashayu Puteh menganggap filem mempunyai peranan penting dalam mengajar erti kemerdekaan kepada masyarakat.

Bagi wanita yang lebih mesra disapa Ayu Puteh ini, menerusi filem boleh menarik orang ramai terutamanya generasi muda untuk menghargai sebuah kemerdekaan.

“Tanpa perjuangan orang-orang terdahulu, tiadalah kemerdekaan hari ini. Apa yang kita nikmati adalah hasil perjuangan mereka yang sanggup menggadai nyawa demi kemerdekaan negara.

“Jadi, bagaimana mahu memberitahu masyarakat segala pengorbanan mereka? Antara langkah yang cukup berkesan adalah melalui filem kerana masyarakat dan generasi sekarang boleh melihat perjuangan mereka secara visual dan memberi kesan di hati,” katanya.

Menurut ibu kepada selebriti Wanna Ali ini, generasi muda boleh menghayati filem yang mempunyai unsur-unsur patriotik yang merupakan lanjutan daripada subjek sejarah yang dipelajari di sekolah.

“Generasi muda yang selama ini hanya membaca kisah perjuangan pahlawan Melayu dalam buku sejarah mendapat peluang terbaik untuk menghayati watak perjuangan pahlawan ini.

“Walaupun dalam filem terdapat unsur fiksyen, kita tidak boleh menafikan karya sebegitu merangsang semangat nasionalisme rakyat.

“Di sini kita dapat lihat dengan jelas, nilai patriotisme ada hubung kait yang sangat akrab. Kita perlu melihat secara serius untuk menjadikan drama dan filem sebagai wadah yang terus menyemai dan menyuburkan semangat cintakan negara dalam kalangan masyarakat.

“Kita berharap agar lebih banyak lagi karya genre seperti ini dapat dihasilkan oleh barisan pengarah tempatan kerana di samping mampu menarik minat penonton, ia juga boleh menyampaikan pelbagai mesej positif dan nilai murni kepada masyarakat.

“Bagi merealisasikan hasrat ini pemain industri perfileman tempatan sangat memerlukan sokongan dan dokongan daripada pihak kerajaan yang turut boleh menjadi pembiaya bagi menjayakan penerbitan filem seperti ini,” katanya. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas