Oleh DEEL ANJER
PENGARAH filem Harimau Malaya: The Untold Journey, Datuk Afdlin Shauki mengaku naskhah yang diarahnya itu bukanlah semata-mata untuk kejayaan peribadi malah lebih penting adalah untuk negara.
Bagi Afdlin Shauki yang kali terakhir duduk di kerusi sutradara dua tahun lalu, kesempatan mengarahkan filem itu adalah platform yang digunakannya untuk mewujudkan kecintaan yang lebih besar bukan hanya terhadap sukan tetapi semangat setiakawan, pengorbanan dan patriotisme yang sepatutnya ada dalam diri setiap rakyat Malaysia.
“Selaku rakyat Malaysia saya tidak seharusnya menolak peluang menggarap dan mengarah Harimau Malaya : The Untold Journey.
“Ini bukan sahaja kerana mahu ada satu masterpiece dalam karier pengarahan saya tetapi ia menjadi penghormatan saya kepada negara tercinta. Melalui filem mini, akan mengerti definisi Kejayaan Memerlukan Keberanian Dan Pengorbanan,” katanya.
Filem terbitan 4ward Pictures Sdn Bhd itu mengangkat perspektif yang belum pernah dikupas dalam mana-mana penghasilan karya membabitkan Harimau Malaya.
Wakil 4ward Pictures Nashrul Nasir berkata, filem itu berkembang bukan sekadar tentang pemain bola sepak tetapi mengambil naratif berbeza terutama mengangkat kisah tiga orang peminat tegar yang digelar Ultras yang disenaraihitam menghadiri perlawanan bola sepak selama setahun.
“Filem ini juga menampilkan sepak terajang atau perjalanan panjang individu-individu di belakang tabir, di sekeliling yang banyak membantu skuad kebangsaan tetapi tidak pernah didendangkan.
“Harimau Malaya : The Untold Journey juga adalah sebuah apresiasi terhadap perjuangan skuad kebangsaan terutama selepas berjaya menewaskan Bangladesh sekali gus layak ke Piala Asia selepas 42 tahun,” katanya.
Filem tersebut dibarisi pelakon hebat tanah air antaranya Sophia Albarakbah, Zahirah Macwilson, Aiman Hakim Redza, Tony Eusoff, Vanidah Imran, Khir Rahman, Douglas Lim, Fattah Amin, Meerqeen, Fazura, Bell Ngasri, Azhar Sulaiman dan ramai lagi.
Ia diinspirasikan daripada kisah di sebalik tabir Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) selepas Tan Cheng Hoe meletakkan jawatan sebagai jurulatih skuad kebangsaan pada Januari 2022. – WILAYAHKU