Putrajaya

Festival Ramadan Putrajaya 2025

ROZIMAH
- Diterbit 6 Mac 2025 4:13 PM MYT

FESTIVAL Ramadan Putrajaya (FRP) yang memasuki tahun ke-13 penganjurannya bakal diadakan kembali bermula 28 Februari sehingga 30 Mac ini.
Mensasarkan seramai satu juta pengunjung dalam kalangan pelancong domestik dan antarabangsa, beberapa penambahbaikan dan elemen baharu disuntik bertujuan menjadikan Putrajaya sebagai pusat sehenti menjual juadah berbuka puasa dan barangan keperluan Aidilfitri selain dilihat dapat mengeratkan hubungan sesama keluarga dan masyarakat.
Ikuti sesi temu bual wartawan Wilayahku, DIANA AMIR dan jurufoto HASIF HALIMI bersama Pengarah Bahagian Pelesenan, Jabatan Perkhidmatan Bandar, Perbadanan Putrajaya (PPj), ROZIMAH WAHID mengenai FRP 2025.

Apakah tema bagi penganjuran Festival Ramadan Putrajaya 2025?

Mula dianjurkan pada tahun 2012, saban tahun FRP semakin mengukuhkan jenamanya dan dinanti-nantikan bukan sahaja pengunjung bahkan peniaga dari dalam dan luar Putrajaya.

Penganjuran FRP tahun ini menyokong pendekatan ‘whole of nation’ yang disarankan kerajaan dengan melibatkan pelbagai agensi kerajaan, pihak swasta, majlis perwakilan penduduk serta pelbagai badan bukan kerajaan (NGO) dalam bersama-sama menjayakannya.

Bertemakan ‘Memori Ramadan, Aspirasi Syawal’, FRP 2025 merangkumi enam komponen utama di mana lima daripadanya berlangsung di Pusat Bandar Putrajaya iaitu di Presint 3 yang menawarkan pusat sehenti kepada pengunjung bagi membeli-belah, beriadah dan beribadah.

Apakah lima komponen utama FRP 2025 di Presint 3, Putrajaya?

Komponen tersebut adalah:
i. Bazar Ramadan Utama, Presint 3
Merupakan antara bazar Ramadan yang popular di Malaysia terletak di tapak letak kenderaan awam bersebelahan Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin dan Kompleks PPj di mana kita menawarkan lebih 1,000 jenis menu juadah berbuka puasa dengan sejumlah 290 lot niaga. Antara menu popular yang kita kekalkan seperti Cef Amar, nasi ganja, mi rebus dan banyak lagi. Bazar ini akan mula beroperasi pada 2 hingga 30 Mac dari pukul 3 petang hingga 8 malam.

ii. Bazar Mega Anjung Syawal
Terletak di Persiaran Perdana dan Dataran Putrajaya berhadapan Kompleks PPj, bazar Aidilfitri terbesar di Lembah Klang ini mengumpulkan lebih 300 peniaga jualan keperluan Hari Raya serta makanan dan minuman (F&B). Berkonsepkan kampung tradisional, bazar ini merupakan anjuran Raydiates Blue Sdn Bhd. Menariknya pada kali ini, kita mempunyai komponen baru iaitu healing station yang terletak di kawasan Serambi Santai dengan khemah lutsinar untuk pengunjung berbuka puasa sambil menikmati pemandangan. Bazar Syawal ini akan beroperasi dari pukul 12 tengah hari sehingga 12 tengah malam.
Beberapa selebriti tempatan dan pempengaruh terkenal Malaysia turut sama menjual barangan persiapan raya seperti Datuk Seri Siti Nurhaliza, Datuk Jamal Abdillah dan ramai lagi. Di samping itu, pengisian tazkirah, persembahan dan hadiah cabutan bertuah lumayan disediakan kepada pengunjung.

iii. Laman Oasis
Sebelum ini dikenali sebagai Kiblat Walk dan kali ini kita jenamakan semula sebagai Laman Oasis yang menawarkan 14 lot niaga serta kemudahan kerusi meja berkonsepkan outdoor cafe. Suasana santai ini menjadi tarikan pengunjung berbuka puasa dan moreh sambil beriadah selepas beribadah di Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin bersama keluarga dan rakan-rakan. Laman ini akan beroperasi pada pukul 3 petang sehingga 12 tengah malam.

iv. Laman Iftar
Kawasan padang di hadapan Kompleks PPj ini menjadi lokasi tumpuan dan ikonik bagi pengunjung berbuka puasa dalam suasana riadah, berkelah dan santai di mana kebiasaannya pada hujung minggu akan dipenuhi orang ramai seawal pukul 4 petang. Di samping itu, kita juga mengadakan pengisian kerohanian dengan program Tazkirah Ramadan oleh penceramah jemputan satu jam sebelum masuk waktu berbuka puasa.

v. Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin
Masjid ini merupakan lokasi tumpuan bagi aktiviti ibadah khususnya solat fardu dan sunat Tarawih berjemaah dan berada berhampiran dengan tapak FRP 2025. Selain laman iftar, Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin turut mempunyai ruang berbuka puasa awam di kawasan ‘shan’. Selain itu, terdapat juga program qiamulail pada 10 malam terakhir Ramadan dan imam Terawih jemputan iaitu Dr Sheikh Samer Najeh Samarah dari Jordan dan Shekh Asem Othman dari Syria.

Adakah terdapat komponen FRP25 yang dianjurkan selain di Presint 3?

Terdapat satu lagi komponen FRP25 selain di Presint 3 iaitu Bazar Ramadan Kejiranan melibatkan tiga buah lokasi di kawasan kejiranan berkepadatan tinggi dan agak berjauhan daripada pusat bandar bagi kemudahan warga Putrajaya antaranya Bazar Ramadan Presint 11 yang berlokasi di Tapak Park & Ride Presint 14 anjuran Majlis Perwakilan Penduduk Wilayah Persekutuan (MPPWP) Zon Putrajaya melibatkan 120 peniaga.

Selain itu terdapat juga Bazar Ramadan Presint 14 anjuran Berkat Bumi Empire melibatkan seramai 170 peniaga. Terletak berhampiran kawasan komersial Presint 11, Putrajaya, bazar ini kita akan kekalkan sebagai Bazar Ramadan Rahmah seperti tahun sebelumnya dengan kerjasama pihak Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN).

Pada tahun ini kita memperkenalkan Bazar Ramadan Mini Presint 16 yang terletak di kawasan parkir Taman Warisan Pertanian melibatkan 40 peniaga anjuran Koperasi Perbadanan Putrajaya (PutraKop). Walau bagaimanapun gerai-gerai sedia ada di Taman Warisan Pertanian masih beroperasi seperti biasa. Kesemua bazar ini akan beroperasi mulai 2 hingga 30 Mac, dari pukul 3 petang hingga 8 malam.

Kelainan atau penjenamaan yang dibawa oleh Perbadanan Putrajaya pada tahun ini?

Menariknya kali ini kita berkolaborasi dengan pempengaruh terkenal, Pinn Yang untuk membantu mempromosikan Bazar Ramadan Putrajaya dan Jualan Anjung Syawal. Pinn Yang juga akan berada di kedua-dua lokasi bagi berkongsi hadiah bersama para pengunjung di samping menjual produk miliknya. Pelbagai hadiah menarik menanti pengunjung bertuah.

Selain itu, bagi menyokong inisiatif ke arah menjadikan Putrajaya sebagai Bandar Hijau Rendah Karbon menerusi pengurusan tenaga yang cekap, pemeliharaan alam sekitar dan pengurangan jejak karbon, FRP25 akan meningkatkan pelbagai kempen di bawah ‘Kempen ‘Go Green’ Bazar Ramadan Putrajaya’. Di antara kempen atau program yang dilaksanakan merangkumi Cashless Bazar Ramadan di mana kita mengguna pakai sepenuhnya transaksi pembelian tanpa tunai oleh pengunjung.

Kempen Hindari Penggunaan Plastik Sekali Guna juga akan dijalankan di mana pihak PPj tidak lagi menyediakan bag plastik sebaliknya pengunjung perlu membawa bag sendiri. Kita juga akan menjual beg serba guna berhampiran pintu masuk bazar dan di situ juga akan diadakan jualan preloved mega raya. Itu antara penambahan pada penganjuran kali ini.

Seterusnya, kempen yang memberi impak yang positif kepada kebajikan rakyat dan pemuliharan sekitar seperti Kempen Elakkan Pembaziran Makanan (Beli Apa Yang Perlu sahaja), Kempen Pengurangan Sisa Organik Melalui Pengkomposan di Festival Ramadan Putrajaya dan Kempen Pengumpulan Minyak Masak Terpakai daripada Bazar Ramadan Putrajaya masih diteruskan dan mendapat sambutan baik daripada para peniaga.

Harapan penganjuran tahun ini?

Putrajaya merupakan antara lokasi yang melakukan program bersepadu seperti ini jadi kita jangka akan menjadi destinasi mesra muslim. Tambahan pula pada tahun lalu, kita telah mengadakan kolaborasi dengan pihak tourism di mana Putrajaya menjadi antara destinasi wajib singgah di bulan Ramadan.

Diharapkan juga festival ini terus berupaya menyokong perkembangan ekonomi Putrajaya selain memberi peluang perniagaan kepada penjaja juga peniaga kecil untuk menambah pendapatan sampingan. Untuk makluman, tahun lalu kira-kira RM3 juta pendapatan diperoleh dalam kalangan 900 peniaga.

Justeru itu, saya menjemput orang ramai untuk dating ke FRP 2025 untuk merasai sendiri suasana meriah, santai dan unik yang mungkin tidak ada di tempat lain. Untuk maklumat lanjut dan terkini, orang ramai boleh melayari media sosial rasmi PPj @Putrajaya (Facebook); @perbadananputrajaya (Instagram, TikTok dan YouTube) atau @putrajayacorp (X). – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas