Berita

Festival Ramadan Putrajaya 2023 dijangka tarik 500,000 pengunjung

PENGANJURAN Bazar Ramadan pada tahun lalu mendapat sambutan menggalakkan daripada warga Putrajaya.
- Diterbit 19 Mac 2023 2:00 AM MYT

TIDAK dinafikan setiap kali tibanya bulan Ramadan, kemeriahannya lebih terasa dengan adanya penganjuran bazar bagi memudahkan orang ramai mendapatkan juadah berbuka puasa mahupun kelengkapan raya.

Bakal kembali dengan skala yang lebih besar melibatkan lima lokasi bazar Ramadan dan dua lokasi bazar Aidilfitri bermula 22 Mac ini, penganjuran Festival Ramadan Putrajaya 2023 (FRP2023) kali ke-11 dijangka menarik kehadiran 500,000 pengunjung.

Menurut Presiden Perbadanan Putrajaya (PPj), Datuk TPr Fadlun Mak Ujud, FRP2023 bertujuan menjadikan Putrajaya sebagai pusat sehenti menjual juadah berbuka puasa dan barangan keperluan hari raya bagi menyemarakkan semangat Ramadan.

“Selain itu, penganjuran festival ini juga diharap berupaya menyokong perkembangan serta pemulihan ekonomi Putrajaya dan negara selain memberi peluang perniagaan kepada penjaja dan peniaga kecil menambah pendapatan pasca pandemik COVID-19.

“Penganjuran FRP2023 yang bertemakan ‘Seindah Ramadan, Harmoni Lebaran’ itu melibatkan empat komponen utama iaitu Bazar Ramadan, Anjung Syawal, Kiblat Walk dan Laman Iftar dengan lokasi terlibat adalah di Dataran Putrajaya Presint 3, Kompleks PPj dan lima lokasi bazar Ramadan Putrajaya,” ujar beliau.

Bagi komponen Bazar Ramadan, Fadlun berkata lebih 500 lot niaga disediakan di lima lokasi iaitu tapak bersebelahan Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin Presint 3; tapak parkir Taman Seri Empangan Presint 5; tapak parkir Pasar Awam Presint 8; tapak berhadapan Depo PPj Presint 9 dan tapak Pasar Malam Presint 14 yang bermula dari pukul 3 petang hingga 8 malam.

“Bagi komponen Anjung Syawal pula, ia menawarkan lebih 200 penggerai yang menjual barangan persiapan raya, persembahan kerohanian serta penampilan selebriti hijrah dan pempengaruh tempatan.

“Komponen Kiblat Walk pula menempatkan penggerai bagi jualan makanan dan minuman, barangan kering, baju serta kuih raya,” ujarnya.

Selain itu, beliau berkata pengunjung turut mempunyai pilihan untuk mendapatkan juadah berbuka di Laman Iftar yang terletak di antara perkarangan Kompleks PPj di mana terdapat 12 gerai menjual pelbagai makanan dan minuman dari pukul 3 petang hingga 12 tengah malam.

“Pengunjung boleh memilih untuk berbuka puasa dan moreh di Laman Iftar berkonsepkan outdoor cafe di Kompleks PPj dan padang berhadapan Kompleks PPj yang juga merupakan lokasi ikonik berbuka santai bersama rakan-rakan dan keluarga,” ujarnya.

Lebih menarik, Fadlun memaklumkan bersempena dengan bulan Ramadan yang bakal tiba, pelbagai pengisian berbentuk kerohanian dan kemasyarakatan turut dirancang oleh pihaknya.

“Antaranya adalah sesi tazkirah, ceramah, tadarus Al-Quran serta program-program lain bersama komuniti Putrajaya,” tambahnya pelbagai kempen turut direncanakan seperti pembayaran tanpa tunai, kesedaran alam sekitar serta amalan hijau di mana ia selaras dengan aspirasi menjadikan Putrajaya sebagai sebuah bandar hijau dan bandar pintar.

Terdahulu, festival berkenaan telah berjaya menarik kehadiran lebih 500,000 pengunjung sepanjang Ramadan 2022 dengan hasil jualan kasar sebanyak RM3 juta. -WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas