Berita

Festival Orkid Putrajaya 2023 dilanjutkan sehingga Ahad

ORANG ramai dijemput hadir ke Festival Orkid Putrajaya 2023.
- Diterbit 20 Disember 2023 6:40 PM MYT

FESTIVAL yang mempamerkan pelbagai spesies dan bunga-bungaan serta tanaman hiasan, Orkid Putrajaya 2023 yang sepatutnya berakhir hari ini dilanjutkan sehingga 24 Disember 2023 (Ahad) berikutan sambutan menggalakkan daripada orang ramai.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Dr Zaliha Mustafa berkata festival yang dilanjutkan selama empat hari lagi itu adalah bagi memberi peluang kepada orang ramai untuk berkunjung sempena musim cuti sekolah yang bermula pada Sabtu lalu.

Dalam masa sama, beliau berkata inisiatif dan lanjutan yang dilaksanakan itu turut dapat membantu meningkatkan ekonomi peniaga di situ.

“Sehingga hari ini, seramai 60,000 pengunjung telah hadir dan inisiatif pelanjutan ini menyasarkan 100,000 pengunjung,” katanya semasa melawat tapak pameran Orkid Putrajaya 2023 hari ini.

Bertemakan Pesona Anggerik dengan orkid sebagai bunga tema, edisi terkini festival itu menghimpunkan lebih daripada 500 pokok orkid khas termasuk pelbagai jenis hiasan pokok-pokok berbunga seperti pokok palma, orkid VIP, orkid liar, pokok-pokok renek, tanah tinggi, pokok pakis serta lebih daripada 70,000 nos bunga semusim yang akan disusun khas di Taman Botani, Putrajaya. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas