FESTIVAL Kreatif KL diadakan dalam usaha menghidupkan semula kawasan teras bersejarah ibu kota dengan sejarah, seni bina, komuniti dan budaya.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Dr Zaliha Mustafa, berkata festival tersebut berfungsi sebagai platform utama yang mempamerkan warisan budaya Kuala Lumpur yang kaya.
“Ia juga selaras dengan matlamat Rangka Kerja Ekonomi MADANI Malaysia untuk pembangunan inklusif dan mampan. Selain itu, memperkasa pusat bandar KL sebagai hab kreatif dan budaya akan menyokong usaha lebih luas untuk memacu pertumbuhan ekonomi dan meningkatkan kebolehdiaman bandar Wilayah Persekutuan ini.
“Komitmen berterusan kami untuk menjadikan Kuala Lumpur pusat kreatif global mencerminkan matlamat kami untuk mengubah ruang awam menjadi tempat dinamik yang memacu inovasi dan memperluas infrastruktur kreatif, menjadikan bandar ini destinasi utama untuk bakat serta perniagaan kreatif,” ujar beliau.
Dalam pada itu, Pengarah Urusan Think City, Datuk Hamdan Abdul Majeed berkata Festival Kreatif KL bukan sekadar acara namun ia adalah satu gerakan untuk menemui dan membayangkan semula pusat bandar KL dengan menjemput pengunjung meneroka permata tersembunyi serta berinteraksi dengan sejarah bandar.
“Festival ini bertujuan meletakkan pusat bandar KL di pentas global sebagai destinasi budaya yang dinamik.
“Selepas lima tahun dan pandemik global, kami kini bersedia untuk memajukan Pelan Induk Strategik KLCCD, terima kasih atas sokongan daripada Yayasan Hasanah dan Kementerian Kewangan (MoF).
“Dengan sokongan dari Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dan Jabatan Perdana Menteri, bersama-sama dengan Kementerian Kewangan (MoF), usaha kami untuk memperkasakan komuniti kreatif di Pusat Bandar KL dan menginstitusikan pelan induk ini kini mula membuahkan hasil.
“Ia melambangkan kerjasama dengan artis tempatan dan antarabangsa, mempamerkan karya mereka dan meletakkan Kuala Lumpur sebagai hab kreatif yang semakin berkembang di rantau ini,” katanya dalam satu kenyataan.
Jelasnya, acara festival akan mengaktifkan beberapa kawasan utama termasuk Presint Sivik (Kawasan Warisan Dataran Merdeka, Panggung Bandaraya), Presint Peruncitan Tradisional (Semua House), Presint Segi Tiga Warisan (Jalan Tun HS Lee, Jalan Tun Perak, Medan Pasar, Central Market), Presint Petaling Street (Kwai Chai Hong) dan Kawasan Merdeka 118 (Kampung Attap).
Terdahulu, Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Seri TPr Dr Maimunah Mohd Sharif turut hadir pada Majlis Peluncuran Festival Kreatif KL di The Toffee.
Acara utama festival ini termasuk KALAM: Confluence of Writers & Ideas, Tayangan Perdana Dunia SEKA dan banyak lagi. – WILAYAHKU