FESTIVAL Idea Putrajaya 2024 bakal diadakan di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) pada 27 hingga 29 November ini bagi memartabatkan pendidikan tinggi dan memperkukuh imej Malaysia sebagai pusat kecemerlangan wacana intelektual dan inovasi.
Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir berkata festival berkenaan akan menghimpunkan pakar, pembuat dasar, ahli akademik dan masyarakat umum dalam satu platform berprestij untuk membincangkan idea-idea inovatif serta penyelesaian terhadap cabaran semasa dihadapi negara dan dunia.
“Festival ini juga dianjurkan untuk mengembalikan kegemilangan budaya ilmu dan melahirkan masyarakat yang menghargai ilmu.
“Semua idea dan penyelidikan dibawa serta dikumpulkan dalam satu platform untuk dikongsikan kejayaan negara dengan masyarakat dunia dan merangka masa depan negara melalui The Malaysian Success Story dan mengangkat Putrajaya sebagai City of Ideas,” katanya pada Majlis Jerayawara Festival Idea Putrajaya 2024.
Teks ucapan Zambry dibacakan oleh Ketua Setiausaha Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT), Datuk Seri Dr Zaini Ujang.
Zambry berkata festival berkenaan akan menggalakkan inovasi dan penyelesaian kreatif untuk menangani cabaran global, seperti ketidaksamaan ekonomi, pembangunan mampan dan perubahan iklim.
“Inilah masanya untuk menggerakkan perubahan besar sejajar dengan peranan Malaysia sebagai pemimpin dalam mencapai kesejahteraan dunia.
“Festival ini akan menjadi pemangkin inovasi bukan hanya memberi impak kepada Malaysia tetapi juga pada peringkat global,” ujarnya. – WILAYAHKU