Berita

Festival Budaya Putrajaya sasar 150,000 pengunjung

- Diterbit 22 September 2024 9:00 AM MYT

KEJAYAAN Festival Budaya Putrajaya pada tahun lalu menjadi penanda aras bagi penganjurannya kali ini apabila kerajaan mensasarkan kehadiran seramai 150,000 pengunjung.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Dr Zaliha Mustafa berkata Festival Budaya Putrajaya 2024 memperlihatkan bagaimana seni dan budaya mampu menjadi medium penyatuan dan keharmonian sejajar dengan visi Malaysia MADANI yang inklusif dan sejahtera.

“Malaysia akan mengambil alih Kepengerusian ASEAN pada 2025, memberi peluang kepada negara kita untuk terus memperkasakan dan mempromosikan seni, budaya dan warisan ke peringkat serantau dan antarabangsa.

“Ini merupakan penghormatan penting yang dapat menonjolkan peranan kita dalam memperkayakan khazanah seni, budaya di rantau ini,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Festival Budaya Putrajaya 2024 yang diadakan bertempat di Dataran Putrajaya malam tadi.

Hadir sama Ketua Setiausaha Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC), Datuk Wira Roslan Tan Sri Abdul Rahman; Ketua Pengarah Jabatan Wilayah Persekutuan (JWP), Datuk Indera Noridah Abdul Rahim dan Presiden Perbadanan Putrajaya (PPj), Datuk TPr Fadlun Mak Ujud.

Zaliha berkata festival ini juga menjadi contoh cemerlang bagaimana Malaysia boleh memanfaatkan peluang ini untuk mempamerkan kepelbagaian dan kekayaan seni, budaya dan warisan.

“Dengan festival ini, kita bukan sahaja dapat mempromosikan nilai-nilai budaya Malaysia kepada pelancong tempatan dan antarabangsa, tetapi juga mengukuhkan kedudukan negara
kita sebagai pusat seni, budaya dan warisan utama di ASEAN.

“Festival ini juga bertujuan mempromosikan Tahun Melawat Malaysia 2026 (VM2026), sekali gus menyemarakkan kegiatan ekonomi Malaysia di mana ia melibatkan ramai pihak, terutamanya industri pelancongan, seni, budaya dan warisan,” ujarnya.

Terdahulu, Festival Budaya Putrajaya 2024 yang bertemakan ‘Perpaduan melalui Seni Budaya’ merupakan anjuran MOTAC dengan kerjasama PPj diadakan selama tiga hari bermula 20 hingga 22 September 2024 bertempat di Dataran Putrajaya, Presint 3. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas