Berita

Festival Budaya Putrajaya 2024: Lestari warisan seni budaya

Sekitar persembahan yang diadakan pada festival Budaya Putrajaya 2023. 
- Diterbit 13 September 2024 4:49 PM MYT

 

ORANG ramai dijemput hadir untuk memeriahkan Festival Budaya Putrajaya 2024 pada 20 hingga 22 September ini.

Program yang berlangsung selama tiga hari itu akan diadakan di Dataran Putrajaya, Presint 3, Putrajaya bermula pada pukul 9 pagi hingga 11 malam.

Bertemakan ‘Gemilang Budaya Kukuh Perpaduan’, festival ini akan membawa pelbagai keunikan budaya yang ada di Malaysia untuk tatapan umum.

Kepelbagaian kaum dan keunikan adat resam yang dimiliki Malaysia akan menjadi tarikan pengunjung khususnya pelancong luar untuk mengetahui dengan lebih mendalam tentang budaya masyarakat majmuk di negara ini. Pelbagai aktiviti, persembahan, permainan dan hadiah menarik menanti buat pengunjung yang hadir. Jom beramai-ramai kita memeriahkan acara ini. Jumpa anda di sana!

Bagi mengetahui dengan lebih lanjut mengenai Festival Budaya Putrajaya 2024, ikuti sesi wawancara eksklusif wartawan Wilayahku, SABRINA SABRE bersama Pengarah Bahagian Komunikasi Korporat Perbadanan Putrajaya (PPj), SITI FADILAH RAMLI .

Boleh kongsikan secara ringkas berkenaan Festival Budaya Putrajaya 2024?

Festival Budaya Putrajaya pada tahun ini adalah kali kedua dianjurkan secara bersama oleh PPj dengan Kementerian Pelancongan, Seni Dan Budaya (MOTAC) serta agensi di bawahnya seperti Istana Budaya, Balai Seni Negara dan Perbadanan Kemajuan Kraftangan Malaysia.

Program ini berkonsepkan kebudayaan dengan mengetengahkan tema Gemilang Budaya Kukuh Perpaduan, di mana konsep persembahan kebudayaan yang bakal dibawakan adalah Colours of Malaysia.

Pengisian utama program akan dibawakan oleh MOTAC antaranya Malam Gala Warna Warni MADANI, Pameran Demonstrasi dan Interaktif Seni Budaya Warisan, Penjualan Produk Kraf, Produk Komuniti dan Produk Tradisional, Pameran dan Jualan Produk Domestik dan Antarabangsa, Pencungkilan Bakat Seni dan Budaya serta banyak lagi.

PPj pula akan menjayakan persembahan teater secara percuma bertajuk Cinta Ahmad Mutawakkil, Program Jelajah Makan Putrajaya dan Pavilion Pameran Indahnya Putrajaya.

Apakah kelainan untuk penganjuran kali ini?

Untuk julung kalinya, PPj akan mengadakan persembahan teater budaya bertajuk Cinta Ahmad Mutawakkil yang akan dipentaskan bermula pada 20 hingga 22 September 2024 secara percuma.

Orang ramai boleh dapatkan pas masuk tersebut dengan mengimbas kod QR di poster yang telah dimuat naik di media sosial rasmi PPj.

Tarikh Pementasan adalah pada 20 September 2024 (8.30 malam), 21 September 2024 (2.30 petang) dan 22 September 2024 (2.30 petang) bertempat di Auditorium Tun Azizan Zainul Abidin, Kompleks Perbadanan Putrajaya.

Boleh kongsikan bagaimana tercetusnya idea untuk menjayakan Jelajah Makan Putrajaya ini?

Seperti kita semua sedia maklum, Malaysia sememangnya terkenal dengan kepelbagaian menu dan jenis makanan. Bertitik tolak dari situ, PPj mengambil inisiatif untuk menyediakan reruai makanan dari setiap negeri di Malaysia dan juga tidak dilupakan pelbagai jenis makanan yang sedang viral ketika ini.

Jelajah Makan Putrajaya akan bermula sehari lebih awal iaitu pada 19 September (Khamis). Lokasinya adalah di hadapan pentas utama Festival Budaya Putrajaya 2024.

Terdapat 74 reruai makanan yang disediakan terbahagi kepada tiga kategori iaitu 10 booth daripada makanan warisan negeri yang mana makanan tersebut adalah dari negeri-negeri di Malaysia, 12 booth daripada MAYAPADA KOPI yang menyediakan pelbagai jenis kopi yang istimewa dan terdapat juga minuman lain disediakan serta 54 booth yang menyediakan pelbagai jenis makanan berat.

Lebih menarik, terdapat beberapa reruai makanan viral di sini. Hanya dengan mengunjungi Jelajah Makan Putrajaya, pengunjung berpeluang untuk menikmati pelbagai hidangan tempatan yang menarik dan mungkin sukar dijumpai di sekitar Lembah Klang.

Boleh kongsikan jumlah pempamer yang terlibat?

Terdapat 40 reruai pameran yang terlibat di Pavilion Pameran iaitu 23 buah booth daripada MOTAC, Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (ASWARA), Perbadanan Kemajuan Kraftangan Malaysia, Soka Gakkai, Unique Arts, Culture and Heritage Foundation Negeri Sembilan, Jabatan Kemajuan Orang Asli, Lembaga Pembangunan Seni Visual Negara, World Culture Organisation (WCO), Istana Budaya, 12 buah booth produk pelancongan Putrajaya (Indahnya Putrajaya) dan lima buah booth daripada Jabatan Warisan Negara.

Apakah produk terkini pelancongan Putrajaya yang dijangka bakal menjadi tumpuan di Pavilion Pameran Indahnya Putrajaya nanti?

Putrajaya Water Taxi adalah perkhidmatan pengangkutan awam terkini di sepanjang Tasik Putrajaya untuk kemudahan pengunjung. Ianya lebih mudah dan pantas untuk anda pergi ke setiap destinasi menarik di Putrajaya.

Terdapat 10 lokasi perhentian (checkpoint) yang boleh dipilih oleh pengunjung untuk menggunakan perkhidmatan Putrajaya Water Taxi seperti di Taman Botani, Kelab Tasik Putrajaya, Cruise Tasik Putrajaya, Zenith Hotel, Monumen, JAKIM dan Anjung Floria.

Satu lagi tarikan pelancongan terbaharu iaitu Putrajaya Wetland Adventure Park yang pastinya akan menarik perhatian penggemar aktiviti sukan lasak.

Terletak di Taman Wetland Putrajaya, Putrajaya Wetland Adventure Park menjanjikan pelbagai aktiviti mencabar dan menarik seperti flying fox, leap of faith, abseiling dan wall climbing. Terdapat beberapa tawaran dan diskaun akan diberi kepada pengunjung seperti Taman Ekuestrian Putrajaya, Joy Ride Promotion Promo Ticket sehingga 30 peratus, Stable Tour RM20 untuk hari biasa dan hari minggu serta promosi tiket sehingga 40 peratus serendah RM7.50 untuk Cruise Tasik Putrajaya.

Aktiviti lain yang dijalankan sepanjang festival berlangsung?

Pada 21 September 2024, kita akan menganjurkan Program Car Free Day (CFD) Putrajaya bagi meraikan hari tanpa kenderaan pada setiap hari Sabtu minggu keempat setiap bulan. Sepanjang tempoh CFD berlangsung, penutupan jalan penuh akan dibuat di Dataran Putrajaya iaitu bermula dari persimpangan Menara Prisma ke persimpangan Menara Tulus.

Penutupan jalan ini dibuat kepada kenderaan bermotor bagi memberi peluang kepada orang ramai untuk berjalan kaki, berbasikal mahupun mengambil bahagian dalam pelbagai aktiviti sihat.

Menarik dalam penganjuran CFD kali ini adalah edaran 1,000 pek sarapan pagi secara percuma kepada pengunjung terawal. Jadi, saya ingin mengajak orang ramai untuk berkunjung ke CFD bagi menikmati sarapan pagi bersama-sama sambil memakai pakaian tradisional Melayu sempena Festival Budaya Putrajaya.

Selain program dan aktiviti, adakah PPj ada menganjurkan sebarang kempen sempena penganjuran acara ini?

Bagi memastikan pengurusan sampah lebih efisien dan lancar, PPj akan meneruskan Program Jom Bawa Balik Sampah sempena Festival Budaya Putrajaya 2024.

Dalam merealisasikan persekitaran Putrajaya yang bersih, indah dan kondusif semasa penganjuran, program ini menjadi medium pelaksanaan kempen oleh PPj bagi menggalakkan pengunjung untuk lebih bertanggungjawab dalam menjaga kebersihan.

Bagaimanakah pengunjung ingin mendapatkan maklumat tentang Festival Budaya Putrajaya 2024?

Untuk maklumat lanjut, orang ramai boleh layari media sosial kami Facebook @Perbadanan Putrajaya; X @putrajayacorp; Instagram, YouTube dan TikTok @perbadananputrajaya serta melalui laman sesawang PPj di www.ppj.gov.my.

Jangan lupa untuk hashtag kami pada setiap hantaran anda iaitu #festivalbudayaputrajaya2024; #PCF2024; #perpaduanmelaluisenibudaya; #indahnyaputrajaya; #MySeniBudaya; #TaatSetia dan #MalaysiaTrulyAsia. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas