PELOPOR industri jubin terkenal, Feruni Ceramiche (Feruni) telah menandatangani Perjanjian Persefahaman (MoU) bagi menjalinkan kerjasama strategik dengan beberapa pemaju hartanah bagi menawarkan faedah eksklusif kepada pelanggannya.
MoU itu melibatkan pemaju seperti Bangsar Hill Park, Bon Estates, Majestic Gen Sdn Bhd dan Webest di mana kesemua pihak akan mewujudkan situasi menang-menang dalam usaha memberi pengalaman baharu kepada pembeli hartanah.
Menawarkan hadiah bernilai hampir RM15,000, pembeli bukan sahaja berpeluang memenangi hadiah percutian ke Bali, namun kerjasama ini turut memberikan faedah eksklusif seperti tawaran diskaun, voucher penerbangan dan rebat bernilai RM5,000.
Pengarah Urusan Feruni, Datuk C.C. Ngei berkata, transformasi dilaksanakan sebagai salah satu teras dan inisiatif terbaru syarikat mengubah senario industri dengan menyediakan kediaman bernilai tinggi dan pembelian yang berbaloi.
“Transformasi merupakan teras yang menjadi tunjang antara kerjasama Feruni dengan pemaju dan ia merupakan inisiatif kami dalam membantu mereka menyediakan kediaman yang cantik, moden dan bermutu tinggi.
“Melalui kerjasama ini, matlamat utama kami adalah untuk memastikan setiap pihak mendapat lebih banyak keuntungan dan manfaat dengan berbelanja lebih sedikit di mana akhirnya mewujudkan situasi menang-menang untuk semua yang terlibat,” katanya pada majlis menandatangani MoU itu, baru-baru ini.

Mengulas lanjut, Ngei menambah, Feruni komited menawarkan nilai tambah dengan menyediakan bahan jubin premium tanpa sebarang tambahan pelaburan daripada pemaju.
“Menerusi kerjasama ini, pembeli hartanah berpeluang memenangi hadiah cabutan bertuah apabila mereka membeli mana-mana hartanah yang ditawarkan oleh panel pemaju. Bagaimanapun pembeli haruslah berdaftar dengan Feruni terlebih dahulu dan pembelian mesti dilakukan sebelum 31 Mac 2024,” katanya lagi. – WILAYAHKU