KERAJAAN MADANI komited menyelesaikan isu perkhidmatan feri ekspres antara Labuan dan Kota Kinabalu bagi memastikan kemudahan itu kembali beroperasi demi kepentingan rakyat.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Dr Zaliha Mustafa berkata perkara itu antara agenda utama yang dibincangkan dalam kunjungan hormat delegasi Jabatan Wilayah Persekutuan (JWP) kepada Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor di Menara Kinabalu, Sabah.
“Perkhidmatan feri itu bukan sahaja menjadi penghubung utama antara kedua-dua wilayah tetapi turut memainkan peranan penting dalam merancakkan ekonomi setempat.
“Ketua Menteri Sabah menyambut baik cadangan ini dan kedua-dua pihak komited untuk menyelesaikan isu ini dengan segera bagi memastikan kemudahan tersebut dapat kembali beroperasi dalam masa terdekat,” katanya selepas Majlis Kunjung Hormat di Menara Kinabalu pada Isnin.
Zaliha berkata dalam pertemuan itu, kepentingan sektor pelancongan sebagai pemacu ekonomi Labuan turut diberi perhatian, termasuk perancangan penganjuran acara bertaraf antarabangsa bagi menarik lebih ramai pelancong dan meningkatkan daya saing industri berkenaan.
“Antara program utama yang dirancang adalah Labuan International Sea Challenge (LISC) pada April 2025 dan Borneo Flora Festival (BFF) pada Julai 2025, dengan sasaran kehadiran lebih 50,000 pengunjung.
“Acara seperti ini bukan sahaja merancakkan sektor pelancongan, malah berupaya memberi limpahan ekonomi kepada penduduk setempat, selain membuka lebih banyak peluang kepada usahawan dan pemain industri di Labuan dan Sabah,” katanya.
Sementara itu, status semasa Projek Jambatan Labuan-Menumbok yang dilihat sebagai pemangkin dalam meningkatkan aksesibiliti serta integrasi ekonomi antara Labuan dan Sabah turut dibincangkan dalam pertemuan berkenaan.
Zaliha berkata, kunjungan hormat itu mencerminkan komitmen berterusan Kerajaan MADANI dalam memastikan pembangunan Labuan terus menjadi keutamaan sebagai pusat ekonomi yang berdaya saing dan mampan.
“JWP akan terus bekerjasama rapat dengan Kerajaan Negeri Sabah bagi memastikan setiap inisiatif yang dirancang dapat direalisasikan demi manfaat rakyat serta kesejahteraan Wilayah Persekutuan secara menyeluruh,” katanya. – WILAYAHKU