PASAR malam Presint 2 Putrajaya mengingatkan saya pada pasar minggu Kampung Baru di Kuala Lumpur yang sangat popular dalam kalangan penduduk setempat dan kawasan yang berdekatan. Pasar minggu Kampung Baru menjadi unik dan istimewa kerana juadah tradisi dari beberapa negeri, terutama Kelantan.
Pasar minggu Kampung Baru bukan sahaja tempat menjaja, tetapi barang-barang yang dijual di situ mempunyai nilai tradisi terutama makanan dan kuih. Sebahagian besar makanan dan kuih yang dijual jarang ada di tempat lain.
Terdapat juga bermacam-macam jenis buah-buahan dan sayur-sayuran yang sebelum itu hanya boleh didapati di kampung. Malah semua buah-buahan yang hampir pupus itu ada dijual kepada warga Kuala Lumpur. Maka tidak hairanlah sebahagian besar pengunjung bukan sahaja dalam kalangan penduduk Kampung Baru tetapi dari seluruh Kuala Lumpur.
Sekalipun tidak bersifat pasar malam yang menjual makanan atau kuih tradisi, tetapi pasar malam Presint 2 juga sudah menjadi fenomena dalam kalangan warga Putrajaya dan kawasan di sekitar. Ini adalah kelangsungan ilham mewujudkan pasar malam pada awal tahun 1980-an dulu. Bermula di kawasan bandar, kemudian pasar malam berkembang ke seluruh pelosok negara hingga ke kampung-kampung.
Pada asasnya, pasar malam adalah tempat menjual barang makanan mentah seperti sayur-sayuran, ayam dan ikan serta kuih-muih yang dihasilkan oleh masyarakat sekitar. Pasar malam berbeza dengan pasar basah daripada sudut suasana, diadakan pula waktu malam dan hanya sekali atau dua kali seminggu.
Hal itu antara yang membuatkan pengunjung tertunggu-tunggu untuk ke pasar malam, selain membeli barang keperluan boleh menikmati juadah di tempat makan yang disediakan oleh pihak pengurusan. Itu menjadi satu ruang masyarakat untuk bersantai bersama-sama keluarga sekalipun kekal namanya sebagai pasar malam.
Dulu pasar malam menjadi tempat penting bagi pelbagai lapisan masyarakat mendapat pelbagai barang keperluan dan makanan. Bagaimanapun kini sudah banyak pasar malam ditambah baik, contohnya pasar malam di Presint 2 yang sekali gus sebagai tempat menjamu selera dengan juadah yang agak sukar ditemui di tempat-tempat makan yang biasa.
Kata orang, kalau pergi ke Kuala Kubu, jangan lupa tulis nama di atas batu. Saya tambah, kalau pergi ke Putrajaya yang kebetulan pada lewat petang Jumaat dan Selasa, jangan lupa singgah ke pasar malam di Presint 2. Bukan sekadar pasar malam, tetapi boleh menikmati keselesaan kerana kebersihan dan khemah-khemah jualan yang seragam.
Letaknya tidak jauh dari Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin atau Masjid Besi. Sekali datang, mungkin akan ulang untuk kali kedua dan seterusnya dan semua itu bukanlah suatu yang luar biasa. Difahamkan inilah satu-satunya pasar malam yang paling bersih dan cekap pengurusannya.
Hampir semua dalam kalangan peniaga pula memakai baju-T seragam yang memperlihatkan masing-masing yang berniaga di pasar malam itu memberikan satu yang lebih istimewa berbanding di tempat lain. Maka tidak hairanlah kalau pasar malam Presint 2 satu tanda aras untuk diikuti oleh pasar malam lain.
Setiap Jumaat dan Selasa, seawal pukul 4 petang, pengunjung sudah mulai datang dan menjadi semakin ramai selepas kakitangan kerajaan di Putrajaya keluar dari pejabat. Oleh sebab itu sebahagian besar dalam kalangan pengunjung adalah kakitangan kerajaan yang tinggal di kediaman sendiri atau kuarters di Putrajaya.
Penggerak ekonomi
Tidak dapat dipastikan adakah pihak pengurusan mensyaratkan semua peniaga menyusun semua barang jualan dengan begitu kemas dan amat menarik. Bagaimanapun yang dilihat, begitulah. Cara mempamerkan barangan terutama buah-buahan dan sayur-sayuran menjadikan pengunjung tertarik untuk membeli.
Selain ikan segar, ikan kering dan sayuran-sayuran, pasar malam Presint 2 juga amat dikenali sebagai tempat juadah yang popular. Bagaikan tidak terpilih juadah yang dijual di pasar malam itu. Ada berbagai-bagai, tidak kira yang moden atau tradisi. Sebab itulah banyak yang membeli dan terus menikmati juadah di khemah yang disediakan.
Pihak pengurusan menyediakan banyak ruang makan di bawah khemah untuk memberikan keselesaan kepada pengunjung. Sejak akhir-akhir ini ruang makan itu ditambah dan sekali gus menjadikan pasar malam Presint 2 itu tempat menjamu selera yang istimewa setiap Jumaat dan Selasa.
Pasar malam itu memberikan kemudahan kepada warga Putrajaya dan kawasan sekitar mendapatkan bekalan makanan mentah yang segar apabila diadakan dua kali seminggu. Malah dalam kalangan kakitangan kerajaan yang paling banyak di Putrajaya, pasar malam itu menjadi tempat utama mendapatkan bahan makanan mentah.
Pasar malam Presint 2 berperanan sebagai penggerak ekonomi golongan peniaga tempatan disebabkan skala yang lebih besar berbanding yang lain. Di pasar malam itu banyak barangan yang dihasilkan oleh industri kecil dan sederhana seperti pelbagai jenis produk termasuk makanan, pakaian, barangan keperluan harian, hiasan rumah dan sebagainya turut dijual dengan harga yang berpatutan.
Para peniaga yang menjual di pasar malam yang kebanyakannya usahawan kecil atau sederhana yang bergantung kepada kegiatan jualan itu sebagai pendapatan utama mereka. Semakin banyak yang membeli, semakin bertambahlah pendapatan usahawan berkenaan.
Melalui perniagaan di pasar malam, mereka menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi tempatan, meningkatkan daya beli penduduk setempat dan seterusnya mencipta lebih banyak peluang pekerjaan dalam kalangan masyarakat. Kalau dihitung, jumlah peniaga serta pembantu masing-masing, itulah peluang pekerjaan yang diisi daripada adanya pasar malam.
Selain itu, pasar malam turut berperanan sebagai tempat pengunjung memperoleh barangan segar dan berkualiti. Terdapat juga pelbagai jenis juadah seperti nasi lemak, sate, rojak, mi goreng kuih dan pencuci mulut tradisional. Bukan sejenis mi goreng, nasi goreng atau nasi ayam. Berbagai-bagai jenis daripada peniaga yang berlainan.
Melampaui aspek ekonomi, pasar malam Presint 2 juga menjadi tempat bersantai dan berehat bagi keluarga atau individu yang ingin menikmati suasana malam sambil menikmati juadah yang menepati selera. Suasana di Putrajaya amat tenang dan damai biarpun di pasar malam.
Oleh sebab itu, peranan pasar malam tidak terhenti pada keperluan ekonomi semata-mata tetapi juga berperanan sebagai satu entiti sosial dalam kalangan masyarakat. Menyusur dari lorong ke lorong pasar malam Presint 2 memberikan satu pengalaman tentang kehidupan. Pertautan antara peniaga dan pembeli merupakan satu kitaran dan saling memerlukan antara satu dengan lain. – WILAYAHKU
KU SEMAN KU HUSSAIN