PASANGAN yang mendirikan rumah tangga pastinya mengimpikan kehadiran cahaya mata sebagai pelengkap kehidupan. Namun ada juga suami isteri yang selesa menjalani kehidupan tanpa zuriat.
Antara alasannya mereka tidak bersedia bergelar ibu bapa, selesa hidup berdua dengan pasangan dan tidak ketinggalan juga disebabkan kos sara hidup yang agak tinggi pada masa kini.
Terbaharu ia juga mencetuskan fenomena bebas anak (childfree) di mana berkahwin tetapi tidak mahu memiliki anak sekali gus tidak merancang untuk menyambung keturunan.
Menurut penceramah bebas, Amin Idris, jika dilihat daripada perspektif hak asasi manusia, memilih untuk tidak memiliki anak selepas bernikah adalah bukan satu kesalahan kerana setiap individu berhak menentukan kehidupan masing-masing.
“Kita harus menghormati prinsip hidup orang lain dengan tidak terlalu cepat menghukum serta menyebarkan kebencian.
“Memang tidak dinafikan tidak berdosa dalam agama apabila berkahwin tetapi tidak mempunyai anak, apatah lagi mereka yang telah berusaha namun tidak mempunyai zuriat. Walau bagaimanapun, kita harus faham bahawa anak adalah hadiah atau anugerah terindah dari Allah dalam sesebuah perkahwinan.
“Firman Allah SWT: …dia mengurniakan anak-anak perempuan kepada sesiapa yang dikehendaki-Nya, dan mengurniakan anak-anak lelaki kepada sesiapa yang dikehendaki-Nya.” (Surah al-Syura: 49),” ujarnya.
Malah, beliau berkata agama Islam turut menggalakkan kita memperbanyakkan zuriat untuk memperluaskan lagi jumlah umat Muhammad SAW di dunia.
Dalam masa sama, Amin memberitahu Islam melarang umatnya yang berkahwin mencegah kehamilan tanpa sebab yang munasabah.
“Berkahwin dengan niat mahu mencegah kehamilan semata-mata inginkan keseronokan serta kebebasan adalah berdosa dan hukumnya haram kerana ia tidak selari dengan matlamat perkahwinan menurut syariah.
“Islam amat menggalakkan agar setiap pasangan suami isteri berazam dan berusaha untuk mempunyai anak. Bagi mereka yang tidak mempunyai anak setelah berusaha tidak dikira sebagai satu kesalahan dan berdosa di sisi syarak,” ujarnya.
Beliau berkata hal ini kerana Allah SWT sahaja yang berhak dan berkuasa untuk menciptakan setiap nyawa di muka bumi ini.
“Selain itu, seperti semua sedia maklum doa seorang anak adalah antara perkara yang boleh dibawa selepas mati.
“Daripada Abu Hurairah R.A, Nabi SAW bersabda: Apabila matinya seseorang insan, maka akan terputuslah amalannya melainkan tiga perkara iaitu: sedekah jariah, ilmu yang dimanfaatkan dan juga anak soleh (atau solehah) yang mendoakan kepada kedua ibu bapanya. Riwayat Muslim (1631)
“Kita ni amalan banyak mana sangat, maka agama sediakan cara agar ibadah kita kekal hidup. Salah satunya adalah doa daripada anak-anak. Doa anak sangat powerful dan tiada hijab, walaupun kita dah mati. Doa anak-anak yang bantu meringankan azab kubur, doa anak-anak juga membantu menambahkan pahala untuk ke syurga. Maka rugi besarlah mereka yang tiada usaha mempunyai anak.
“Nak merancang itu boleh, tapi janganlah sampai berniat untuk tidak mempunyai anak. Siapa nak terus bawa legasi nama dan doakan untuk kita bila kita dah tiada nanti?” ujarnya.
Pengacara televisyen itu berkata merancang keluarga boleh dibahagikan kepada dua iaitu Tahdid al-Nasal dan Tanzim al-Nasal.
“Jenis yang pertama bererti mengehadkan atau menamatkan terus kemampuan pasangan untuk mendapat anak. Ramai tokoh sarjana Islam dan badan berautoriti berfatwa bahawa haram melakukan perancangan keluarga jenis ini. Ini kerana syarak sendiri menggalakkan agar kita mendapat anak.
“Manakala jenis kedua bererti menjarakkan anak bagi tujuan kestabilan keluarga dan mengelakkan cacamarba dalam pengurusan rumah tangga. Dalam hal ini, sebahagian besar ulama membenarkan untuk menjarakkan sedikit mendapat anak. Itu pun dengan iktikad bahawa jika Allah SWT kehendaki dan tetap mendapat anak, maka itu adalah rezeki, hadiah dan amanah daripada-Nya,” jelasnya.
Sementara itu, Amin berkata punca wujudnya sesetengah mentaliti pasangan yang memutuskan untuk tidak mahu mempunyai anak selepas berkahwin adalah kerana kejahilan dalam memahami konsep sesebuah perkahwinan.
“Hal ini adalah disebabkan mereka jahil memahami tujuan nikah, tujuan hidup dan tujuan agama. Tidak dinafikan kerana tekanan hidup yang mengakibatkan ramai nak melepaskan diri daripada tanggungjawab. Walhal hakikat hidup ialah kita mesti bertanggungjawab untuk menghadapi cabaran hidup, bukan lari daripada sebarang masalah.
“Punca lain yang dikenal pasti disebabkan pengaruh barat, pengaruh liberal dan hedonisme menyebabkan ramai hanya nak yang mudah,” – ujarnya. – WILAYAHKU