Search
Close this search box.
Search
Close this search box.
Berita

FDAM titik berat aspek kesihatan pengarah filem

- Diterbit 1 Julai 2024 5:24 PM MYT

SERAMAI 100 orang ahli Persatuan Pengarah Filem Malaysia (FDAM) mengambil bahagian menerusi Program Hari Karya Lestari FDAM 2024 yang diadakan di Taman Tasik Titiwangsa, Kuala Lumpur pada Ahad.

Pengerusinya, Datuk Afdlin Shauki Aksan berkata program tersebut adalah sebuah acara yang dirancang untuk menimbulkan kesedaran tahap kesihatan jantung kepada penggiat-penggiat seni dalam negara.

“Saya akui kesedaran jantung dalam kalangan ahli-ahli FDAM agak rendah kerana bukan kita bebal tapi ingat kita kebal. Kebanyakan pengarah-pengarah selalu seperti bos, berada di atas dan ingat tiada apa-apa akan berlaku.

“Kita patut ambil masa menjaga diri sendiri. Kita tolong orang buat kerja tapi kita tidak menjaga diri sendiri.

“Pada program yang diadakan semalam kita nak tunjuk pada semua ahli bahawa FDAM mengambil berat tentang keseimbangan dalam kehidupan dan amat penting menjaga kesihatan kita bersama,” ujar beliau dalam satu kenyataan media hari ini.

Afdlin berkata program sehari itu juga menggabungkan elemen riadah, acara berjalan santai, pendedahan simptom serta peserta turut berpeluang melakukan pemeriksaan kesihatan termasuk jantung secara percuma.

“Buat mereka yang masih ingat, Seniman Agung Allahyarham Tan Sri P Ramlee meninggal dunia akibat serangan jantung. Kita menjadi leka dengan rutin dan perbuatan lazim sehingga tidak peka dengan simptom yang menjadi penyebab serangan jantung.

“Bekerja tidak mengikut jam yang ditetapkan badan kita, selalu paksa diri ke tahap maksimum. Saya kenal kawan-kawan saya kerana perangai saya pun sama seperti merokok dan mengambil kafein terlalu banyak.

“Semuanya tidak tahu dan tidak mahu ambil tahu. Masa untuk semua ini berubah. Kita harus selari dengan karya-karya kita dan pada masa sama jagalah kesihatan terutama pengerak kehidupan iaitu jantung. Hanya dengan ini kita kekal lestari dengan karya-karya kita,” ujarnya.

Dalam pada itu, Afdlin turut mengucapkan terima kasih pada Institut Jantung Negara (IJN) yang menaja Program Hari Karya Lestari FDAM 2024 kerana membantu pemeriksaan tahap kesihatan jantung, memberi nasihat, panduan dan langkah ke hadapan dalam menjaga kesihatan jantung.

Tambahnya FDAM juga menyasarkan untuk keseluruhan industri kreatif, media dan hiburan menyertai program seperti itu namun edisi pertama, iadikhaskan kepada ahli-ahli FDAM dengan harapan agar dapat mengurangkan masalah kesihatan kritikal dalam kalangan ahli.

“Namun, menjadi harapan kami di FDAM agar usaha ini diteladani dan bakal dilakukan lain-lain persatuan.

“FDAM mengalukan rakan-rakan kami dari persatuan-persatuan seperti Persatuan Seniman Malaysia (SENIMAN), Persatuan Pekerja Profesional Filem Malaysia (PROFIMA), Persatuan Karyawan Malaysia (KARYAWAN) dan banyak lagi untuk bertemu kami mengadakan kerjasama untuk penganjuran yang serupa,” katanya. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas