PERUNTUKAN berkaitan industri kreatif seperti yang diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam Belanjawan 2025, jelas memperlihatkan sokongan kerajaan terhadap bakat seni.
Menurut Pengerusi Persatuan Pengarah Filem Malaysia (FDAM), Datuk Afdlin Shauki, menerusi Program Belia Kreatif MADANI dengan peruntukan RM30 juta, ia akan dapat membantu pembangunan industri kreatif.
“Usaha ini adalah satu langkah penting dalam memastikan penglibatan generasi baru dalam bidang seni dan seterusnya mencipta karya yang berkualiti.
“Sebagai Pengerusi FDAM, saya amat berbangga dengan usaha kerajaan untuk memberi tumpuan kepada generasi belia melalui Program Belia Kreatif MADANI.
“Ini bukan sahaja membuka peluang kepada belia untuk menceburi bidang seni tetapi juga memperkukuhkan lagi industri kreatif Malaysia.
“FDAM sentiasa menyokong inisiatif seperti ini kerana ia seiring dengan misi kami untuk membangunkan bakat-bakat baharu serta menyediakan platform yang kukuh bagi mereka berkembang,” katanya dalam satu kenyataan.
Dalam masa sama, beliau berkata inisiatif ini seiring dengan matlamat FDAM untuk memperkasa generasi muda dalam industri kreatif tanah air terutamanya dalam bidang pengarahan dan penerbitan filem.
“Program Belia Kreatif MADANI yang diumumkan dalam Bajet 2025 adalah satu peluang emas untuk golongan belia memperkasa kemahiran mereka dalam dunia kreatif.
“Inisiatif ini dijangka menarik hampir 16,000 anak muda untuk menceburi bidang seni melalui pelbagai aktiviti kreatif seperti bengkel kemahiran videografi kandungan kreatif, pembangunan komuniti filem dan pertandingan filem pendek.
“Kami berharap dengan sokongan kerajaan ini, FDAM dan industri filem dapat melahirkan lebih banyak bakat yang mampu mengharumkan nama Malaysia di peringkat antarabangsa.
“Ini juga memberi peluang kepada kami untuk terus menyediakan latihan dan bimbingan selaras dengan visi kami. Tambahan lagi FDAM baharu selesai menjayakan Bengkel Inkubator Pengarah Amatur FDAM 2024 pada 12 hingga 18 Oktober lalu,” ujar beliau.
Di samping itu, Afdlin turut mengajak semua penggiat seni serta anak muda yang mempunyai minat dalam bidang seni untuk merebut peluang ini dan menyertai program-program yang akan dianjurkan oleh FDAM dalam masa terdekat.
“Dengan usaha bersama antara kerajaan dan FDAM, kita dapat mewujudkan persekitaran yang lebih dinamik dan inklusif untuk golongan belia mencipta nama dalam industri seni dan kreatif negara,” katanya. – WILAYAHKU