Berita

Fattah Amin ceraikan Fazura talak satu

FATTAH dan Fazura sah cerai talak satu.
- Diterbit 7 Oktober 2024 11:49 AM MYT

SELEPAS melayar bahtera perkahwinan selama tujuh tahun, pelakon filem Pendekar Awang, Fattah Amin dan isterinya Fazura sah bercerai talak satu di Mahkamah Rendah Syariah Petaling, Subang Bestari hari ini.

Fattah, yang nama sebenarnya Abdul Fattah Mohd Amin, 34, melafazkan cerai talak satu terhadap Fazura atau nama sebenarnya Nur Fazura Sharifuddin, 41, di hadapan Hakim Syarie Abdul Malik Soleh.

Fazura memfailkan permohonan cerai terhadap Fattah pada 13 September lepas atas alasan mereka tidak ada persefahaman.

Pelakon filem Gol & Gincu itu dan Fattah mendirikan rumah tangga pada 27 November 2017 dan dikurniakan seorang cahaya mata perempuan, Nur Fatima yang kini berusia empat tahun.

Selepas prosiding, Fazura dilihat menangis semasa keluar dari mahkamah dan turut bersalaman dengan ibu serta bapa mentuanya.

Sementara itu, peguam syarie Fakhrul Azman Abu Hassan yang mewakili Fazura berkata setelah meneliti cadangan persetujuan yang dikemukakan pihak defendan (Fattah) berkaitan perceraian, kedua-dua pihak telah mencapai persetujuan untuk bercerai.

“Rentetan itu, pihak defendan telah dibenarkan untuk melafazkan cerai talak satu kali pertama terhadap plaintif (Fazura).

“Oleh itu, lafaz cerai telah dibuat oleh defendan pada 9.45 pagi dan terma persetujuan telah direkodkan berkaitan nafkah idah dan nafkah anak serta apa-apa yang berkaitan dengan bidang kuasa Mahkamah Rendah Syariah,” katanya pada sidang media selepas prosiding kes itu.

Menurut Fakhrul Azman, mengenai hak penjagaan anak ia akan direkodkan di Mahkamah Tinggi Syariah. – BERNAMA

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas