JABATAN Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) memaklumkan fasa Peralihan Monsun dijangka bermula pada 24 September dan berterusan sehingga awal November.
Ketua Pengarahnya, Muhammad Helmi Abdullah berkata permuaan fasa ini menandakan berakhirnya Monsun Barat Daya yang telah bermula sejak 17 Mei lepas.
“Semasa fasa Peralihan Monsun, rantau negara akan menerima tiupan angin lemah dari pelbagai arah.
“Situasi ini boleh menggalakkan kejadian ribut petir yang lazimnya membawa hujan lebat beserta angin kencang dalam jangka masa yang singkat.
“Terutamanya pada waktu petang dan awal malam di kebanyakan kawasan di barat dan pedalaman Semenanjung barat Sabah serta barat dan tengah Sarawak,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Tambah Muhammad Helmi, keadaan cuaca sebegini berpotensi menyebabkan banjir kilat, pokok tumbang serta kerosakan pada struktur yang tidak kukuh.
“Orang ramai dinasihatkan untuk lebih berwaspada ketika tempoh in dan sentiasa peka dengan ramalan dan amaran cuaca yang dikeluarkan oleh MetMalaysia melalui laman web rasmi, aplikasi mobil myCuaca dan media sosial rasmi pihak jabatan.
“Orang ramai juga boleh menghubungi Hotline Jabatan 1-300-22-1638 bagi sebarang pertanyaan lanjut,” ujarnya. – WILAYAHKU.