Oleh SABRINA SABRE & DIANA AMIR
DUNIA Internet terlalu mudah ‘membiakkan’ individu ketagih bahan berunsur seks dan merekrut ‘perogol’ belia tanpa sedar memandangkan semua bahan rangsangan itu boleh diakses hanya di hujung jari.
Menurut Pakar Perunding Kanan Psikiatri dan Ketua di Jabatan Perubatan Psikologi, Fakulti Perubatan, Universiti Malaya (UM), Profesor Madya Dr Muhammad Muhsin Ahmad Zahari, perasaan ingin tahu berkenaan seksualiti khususnya dalam kalangan remaja biasanya membawa kepada aktiviti menonton video lucah.
“Ditambah pula peringkat usia muda, terdapat kehendak biologi seperti peningkatan atau perubahan hormon serta kemahuan psikologi yang mendorong ke arah pornografi.
“Dalam masa yang sama, seseorang yang mengakses bahan lucah tidak mengira usia dan status perkahwinan, kebiasaannya ia bagi mengatasi stres dan melarikan diri seketika di mana rasa keseronokan dengan menonton pornografi akhirnya menjadikannya berterusan mengakses sehingga berisiko menjadi ketagih.
“Kehendak sistem ganjaran (reward system) di dalam otak manusia sentiasa mendorong untuk mencari perkara-perkara yang menyeronokkan termasuklah berbentuk seksual ditambah pula jika seseorang melalui masa yang membosankan atau keseorangan,” ujarnya.
Muhammad Muhsin berkata kebanyakan individu yang menonton video lucah baik lelaki mahupun wanita cenderung menggunakan alasan bahawa ia dapat mengembangkan fantasi seksual lalu menguatkan rangsangan seksual ketika melakukan hubungan intim bersama pasangan.
“Bagi mereka yang telah berkahwin, mengakses pornografi boleh memenuhi kehendak seksual yang tidak dipenuhi dalam hubungan suami isteri. Ia mungkin digunakan untuk meningkatkan keinginan seksual (libido) dan ada juga yang mengakses untuk mencari ‘kelainan’ dalam hubungan yang terjalin. Tetapi bagi mereka yang memang sudah biasa melayarinya, situasi yang sama mungkin terus berlaku selepas mereka berkahwin juga,” ujar beliau.
Mengulas lanjut, Muhammad Muhsin berkata pendedahan yang tidak terkawal boleh mengganggu pembentukan generasi akan datang yang berkualiti.
“Dibimbangi golongan muda akan berdepan dengan isu kesihatan mental akibat terdedah dengan pornografi yang berlebihan. Selain itu, lama-kelamaan isi kandungan yang berbentuk seksual menjadi ekstrem dan mungkin mengganggu jangkaan dalam hubungan intim suami isteri.
“Perkembangan sosial dan pendidikan juga boleh terganggu dengan terdedah terhadap isi kandungan yang berlebihan dan melampau. Lebih dikhuatiri generasi akan datang menganggap menonton video lucah adalah normal dan mengurangkan sensitiviti mereka terhadap keburukan pendedahan pornografi di peringkat usia terlalu muda,” katanya.
Jelasnya lagi, terdapat situasi di mana anak-anak secara tidak sengaja melihat video tidak senonoh menerusi gajet orang tuanya dan justeru itu, kecaknaan ibu bapa sangat penting contohnya menggunakan kata laluan yang berlainan antara mereka dan anak-anak.
“Sebagai ibu bapa perlu mengawasi apa yang anak-anak mereka akses di Internet melalui komputer atau telefon pintar. Dengan teknologi AI juga, dibimbangi anak-anak akan terdedah kepada isi kandungan yang tidak sihat jika gajet yang sama digunakan oleh ibu bapa untuk mengakses kandungan tersebut.
“Ibu bapa boleh bercakap hal-hal seksual dengan anak-anak mengikut peringkat umur mereka, keakraban hubungan ibu bapa dan anak-anak sangat penting kerana ini boleh mengelak mereka daripada mendapat elemen tidak sihat berkaitan seksual dari sumber-sumber yang tidak baik khususnya di dalam Internet.
“Seterusnya anak-anak sewajarnya dipastikan mempunyai persekitaran digital yang sihat selain ibu bapa perlu cilik ilmu teknologi maklumat dan penggunaan media sosial,” jelasnya.
Dalam pada itu, Muhammad Muhsin berkata undang-undang penting dalam pengawalan tingkah laku manusia termasuklah akses kepada pornografi.
“Namun undang-undang perlu sesuai dengan budaya setempat seperti di negara barat akses kepada pornografi mungkin tidak bercanggah dengan undang-undang asalkan bukan berkaitan dengan pedofilia atau elemen seks yang keterlaluan. Walau bagaimanapun, budaya ketimuran dan agama kita menyatakan sebaliknya.
“Jadi tidak hairanlah isi kandungan pornografi adalah amat banyak di dalam Internet dan lebih membimbangkan laman-laman berbentuk deepfake yang menggunakan teknologi AI untuk memanipulasi gambar-gambar seseorang menjadi pornografi.
“Oleh itu, pihak berwajib perlu membuat tindakan proaktif dengan menggunakan teknologi terkini bagi memblok laman-laman lucah. Ini memerlukan pemantauan dan pengawasan dari pihak berkuasa bagi mengurangkan kandungan tersebut yang boleh diakses di dalam negara kita,” ujarnya. – WILAYAHKU