Berita

FAMA sasar sejuta transaksi tanpa tunai di semua outlet pemasaran tahun ini

- Diterbit 20 Januari 2024 8:40 PM MYT

LEMBAGA Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) menyasarkan sejuta transaksi tanpa tunai dilakukan di semua outlet pemasarannya di seluruh negara sepanjang tahun ini.

Ketua Pengarah FAMA Abdul Rashid Bahri dalam kenyataan hari ini berkata lembaga itu akan mengembangkan pelaksanaan projek pemula pembayaran dalam talian yang dilaksanakan bersama Paynet Network Malaysia Sdn Bhd (PayNet) bagi mencapai sasaran itu.

Menurutnya, projek pemula tersebut telah berjaya mencatat sejumlah 202,304 transaksi dengan nilai keseluruhan RM6 juta di 18 outlet pemasaran FAMA dalam tempoh tiga bulan ia dilaksanakan iaitu pada Oktober hingga Disember tahun lepas.

“Melalui kerjasama ini, PayNet akan menyediakan sokongan teknikal untuk pelaksanaan program pemasaran, manakala FAMA menerusi rangkaian pasaran di seluruh negara menyalurkan maklumat berkaitan data transaksi melalui semua saluran pembayaran tanpa tunai daripada usahawan,” katanya.

Menurut Abdul Rashid, usahawan yang menyertai program tersebut dibekalkan dengan beberapa bentuk bahan promosi bagi menarik perhatian pengunjung menggunakan kaedah pembayaran tanpa tunai seperti bunting dan papan tanda selain hebahan program secara online dan offline.

Abdul Rashid berharap semua usahawan FAMA dapat menyahut seruan kerajaan untuk melahirkan masyarakat digital dengan memperbanyakkan serta memberikan kesedaran kepada pengguna mengenai pembelian tanpa tunai.

Dalam pada itu, beliau memaklumkan Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) menyasarkan sebanyak 5,000 Jualan Agro MADANI dilaksanakan pada tahun ini.

“Melalui pelaksanaan ini dianggar melibatkan seramai 28,600 usahawan dan memanfaatkan 7.2 juta isi rumah dengan nilai jualan sebanyak RM57.5 juta,” katanya. – BERNAMA

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas