Berita

Faktor muatan punca kekurangan penerbangan ke Labuan

- Diterbit 27 September 2024 3:14 PM MYT

ISU penerbangan terhad ke Labuan adalah disebabkan faktor kekurangan muatan yang layak untuk dipertimbangkan oleh syarikat penerbangan.

Timbalan Menteri Pengangkutan, Datuk Hasbi Habibollah berkata, meskipun kementeriannya mempunyai kuasa untuk meluluskan permohonan baharu bagi penambahan penerbangan ke pulau itu namun keputusan akhir akan ditentukan oleh pihak syarikat penerbangan tersebut.

Katanya, setiap keputusan dibuatkan berdasarkan faktor muatan dan dalam masa sama tidak boleh mengarahkan syarikat penerbangan untuk menambah penerbangan ke destinasi tertentu.

“Jika syarikat penerbangan memohon untuk penerbangan baharu atau tambahan, kami boleh meluluskan permohonan tersebut tetapi akhirnya, ia terletak di tangan pengendali,” katanya kepada pemberita dalam sesi rangka lawatan beliau ke Labuan hari ini.

Mengulas lanjut, beliau menyarankan kepada Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) bekerjasama dengan organisasi pelancongan untuk meningkatkan permintaan penerbangan dengan menjadikan Labuan sebagai destinasi yang lebih menarik.

Katanya, disebabkan kemudahan pengangkutan ke pulau tersebut terhad menyebabkan kedatangan pelancong luar semakin menurun.

“Jumlah penerbangan yang berkurangan bukan sahaja menghalang pelancong, tetapi juga memberi kesan kepada sektor pelancongan tempatan yang bergantung sepenuhnya kepada trafik pengunjung untuk kelangsungan hidup mereka.

“Usaha untuk mempromosikan Labuan seperti pelancongan harus dilaksanakan secara aktif. Untuk itu PBT dan agensi berkaitan mesti sentiasa bekerjasama untuk menyakinkan syarikat penerbangan mempertimbangkan penambahan penerbangan ke Labuan,” katanya. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas