PEMAIN sayap lincah, Faisal Halim kembali menyarung jersi Harimau Malaya menjelang perlawanan pusingan ketiga Kelayakan Piala Asia 2027 menentang Nepal pada 25 Mac ini.
Menerusi hantaran Football Association of Malaysia (FAM) di Facebook, Faisal Halim dilihat tersenarai di antara 27 pemain yang dipanggil Ketua Jurulatih, Peter Cklamovski bagi menjalani latihan pusat sekali gus menamatkan penantian hampir setahun pemain itu tidak bersama skuad kebangsaan.
“Berikut senarai nama 27 pemain yang dipanggil oleh ketua jurulatih kebangsaan, Peter Cklamovski untuk ke kem latihan pusat skuad Harimau Malaya bermula Isnin, 17 Mac 2025,” kata hantaran berkenaan.
Antara nama yang kembali membarisi skuad ialah Dion Cools, Natxo Insa, Afiq Fazail, Romel Morales, Arif Aiman Hanapi, Akhyar Rashid dan Safawi Rasid.
Manakala tonggak yang bermain pada Piala AFF 2024 seperti Paulo Josue, Endrick dos Santos, Muhammad Safwan Mazlan, Muhammad Haqimi Azim Rosli dan Stuart Wilkin pula dikekalkan. Antara pemain baharu dipanggil kali ini ialah pemain pertahanan Selangor FC Ahmad Zikri Mohd Khalili.
Bagaimanapun menerusi senarai tersebut, tiada sebarang penampilan pemain warisan baharu akan memperkuatkan pasukan Harimau Malaya.
Kem latihan pusat skuad Harimau Malaya akan bermula Isnin ini di Johor Bharu sebelum menghadapi perlawanan pertama Kumpulan F, Kelayakan Piala Asia 2027 bertemu Nepal di Stadium Sultan Ibrahim pada 25 Mac. – WILAYAHKU