DI media sosial ada sahaja provokasi yang dilakukan golongan tertentu yang mengatakan kerajaan yang ada pada hari ini bakal tumbang tidak lama lagi. Berita yang tidak sahih tersebut terus berlegar tanpa henti.
Ada kata bulan Ogos lalu, tapi tiada apa-apa berlaku. Tidak kurang juga yang fikir kerajaan tumbang pada tahun baharu, tapi tiada juga. Ada saja andaian dan cubaan mahu mencari kelemahan kerajaan Madani.
Hakikatnya, rakyat masih menyokong dan memerlukan Perdana Menteri (PM), Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk mengemudi Malaysia sekali gus menjadikan sebuah negara kuasa ekonomi pada masa akan datang.
Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil menyifatkan individu yang memperlekehkan kekuatan Kerajaan Perpaduan selain sering menantikan kejatuhan barisan pimpinan kerajaan sedia ada sebagai golongan rabun politik.
Kata beliau, dakwaan kerajaan akan jatuh telah timbul sejak setahun yang lalu, namun sehingga hari ini barisan jemaah menteri di bawah pimpinan PM masih relevan dan dipercayai masyarakat.
“Saya ada baca satu hantaran di media sosial, rangkuman dari seawal Disember 2022, ada kumpulan yang daripada Disember, tiap-tiap bulan kata bulan ini (kerajaan) akan tumbang.
“Bulan depan, minggu depan akan tumbang, Tahun Baharu Cina akan tumbang, hari raya akan tumbang, bulan lapan, bulan 12 akan tumbang.
“Kepada mereka yang selalu bercakap tentang perkara ini, saya nampak mereka mungkin rabun politik. Jadi, saya menggesa mereka untuk buat pemeriksaan mata dan kena bersihkan ‘katarak politik’,” selorohnya.
Dalam masa sama, Fahmi turut memaklumkan bahawa sebelum ini Pengerusi Gabungan Parti Sarawak (GPS), Tan Sri Abang Johari Tun Openg menegaskan bahawa parti itu akan terus kekal menyokong Kerajaan Perpaduan termasuk Anwar sebagai Perdana Menteri sehingga ke akhir penggal.
“Kepada mereka yang cuba mengapi-apikan sentimen, pihak berkuasa sedang menyiasat, dan sekiranya berlaku apa-apa pelanggaran undang-undang, maka mereka akan dihadapkan ke muka pengadilan,” tegasnya.
Sebelum ini Anwar mahu negara ini kembali baik dari segi ekonomi, negara dan rakyat yang bersatu padu.
“Impian dan cita-cita saya ialah menjadikan Malaysia kuasa ekonomi dan sebuah negara yang hebat untuk semua rakyatnya,” ujar beliau ketika berucap pada Ceramah MEGA MADANI di Pekan Sungai Ara. – WILAYAHKU