Berita

Fahmi membangun ‘periuk nasi’ rakyat

- Diterbit 27 September 2024 3:27 PM MYT

SELAKU anak muda yang diangkat memegang portfolio ‘Kabinet’ di Pulau Pinang, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pantai Jerejak, Fahmi Zainol, 33, percaya kepada proses politik yang mengiktiraf golongan itu dalam sistem pentadbiran negeri mahupun negara.

Menggalas tanggungjawab sebagai Pengerusi Jawatankuasa Agroteknologi, Keterjaminan Makanan dan Pembangunan Koperasi negeri, biarpun beliau bergelar junior jika hendak dibandingkan dengan barisan Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (EXCO) yang lain namun tidak kekok dalam soal kerjasama dan komunikasi.

Fahmi turut menekankan aspek untuk membangunkan sektor pertanian dan ‘periuk nasi’ penduduk Pulau Pinang biarpun negeri itu dilihat kecil dan lebih mementingkan sektor industri.

Bersama Wartawan Wilayahku, METRA SYAHRIL MOHAMED, Fahmi yang baru sahaja pulang menghadiri sesi meja bulat mewakili Pulau Pinang di Russian Islamic Forum di Kazan, Rusia berkongsi cabaran mendepani khidmat sebagai wakil rakyat.

Menjadi ‘menteri’ di peringkat negeri Pulau Pinang khususnya dalam bidang menjaga ‘periuk nasi’ rakyat iaitu keterjaminan makanan, apa cabaran utama Yang Berhormat (YB) untuk memajukan sektor pertanian di negeri ini yang lebih memfokus kepada industri?

Cabaran utama adalah kekurangan tanah di negeri Pulau Pinang. Itulah cabaran kita untuk memajukan sektor pertanian negeri.

Selain daripada itu, kekurangan kesedaran kepada pemegang taruh (pemilik tanah pertanian) menjadi cabaran utama dalam memajukan sektor pertanian.

Namun ia bukan alasan untuk kita jadi juara membekalkan barangan makanan, ternakan dan produk pertanian.

Paling penting kita mahu mengubah pertanian menggunakan kaedah tradisional kepada teknologi.

YB merupakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) termuda yang diangkat pucuk pimpinan negeri sebagai EXCO, apa pandangan YB mengenai ‘cakap-cakap’ politik yang mengaitkan sebagai ‘tangkap muat’ atau YB dilihat sebagai pelapis anak muda dalam memajukan negeri?

Parti Keadilan Rakyat (PKR) tidak asing dalam mengangkat anak muda dalam mentadbir negeri mahupun negara.

Antara contoh awal kita mempunyai Ahli Parlimen paling muda iaitu P. Prabakaran (Ahli Parlimen Batu) dan pada satu ketika dahulu kita mempunyai pimpinan yang termuda di Selangor dengan dilantik Timbalan Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) negeri itu pada 2013 iaitu Nik Nazmi Nik Ahmad.

Ternyata PKR dari awal mengiktiraf anak muda dalam membawa suara pentadbiran negeri dan negara. Kini Nik Nazmi merupakan Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam.

Baik di peringkat negeri atau negara, sudah tiba masanya kita menyusun anak-anak muda yang akhirnya akan menjadi pelapis untuk meneruskan kelangsungan pentadbiran.

Selaku EXCO, apa formula dalam menambat hati penduduk Pulau Pinang yang berbilang kaum dalam lingkungan portfolio YB?

Hubungan yang baik dengan pemegang taruh dalam kerajaan, swasta, komuniti, persatuan-badan anak muda dan badan bukan kerajaan (NGO) perlu dijalankan secara semasa ke semasa.

Jika tidak mempunyai hubungan dengan baik, ataupun mengetepikan suara mereka, sudah tentu akan mempunyai masalah.

Namun dengan hubungan yang baik serta berterusan menjadi kaedah utama dalam menambat hati penduduk Pulau Pinang.

Contoh isu-isu utama yang mendepani YB setakat ini dan bagaimana menyelesaikannya?

Isu utama yang saya hadapi adalah cabaran dalam memperkasa sektor pertanian yang lebih bermaruah.

Selama ini, belum ada apa-apa penubuhan dalam membangunkan sektor ini secara skala besar dan agresif.

Kini saya berjaya menubuhkan Penang Agrotech Sdn Bhd, dalam memperjuangkan isu pertanian yang lebih bermaruah.

Apakah wawasan YB khususnya dalam pembangunan Pulau Pinang, sektor apa yang perlu diberikan penekanan untuk dimajukan?

Pembangunan yang seimbang dan lestari harus diberikan penekanan dalam negeri Pulau Pinang dengan memastikan bahawa bukan hanya sesetengah sektor sahaja diberikan tumpuan.

Tetapi perlu dilihat secara seimbang dan semuanya harus mempunyai kelestarian.

Jika aspek keseimbangan dan kelestarian diketepikan ia bakal menghancurkan negeri yang kuat ini.

Justeru selepas ini segala perancangan pada masa-masa akan datang seharusnya seimbang dan lestari.

Di peringkat Dewan Undangan Negeri (DUN) Pantai Jerejak, apa isu-isu utama yang YB lihat perlu diambil peduli dan diselesaikan dengan baik?

Bagi kawasan DUN Pantai Jerejak, isu kesesakan lalu lintas, pembangunan yang lestari (sistem perparitan, parit dan longkang), pembangunan landskap perlu dipertingkatkan dari semasa ke semasa.

Apakah potensi-potensi yang ada di dalam kawasan DUN itu untuk diketengahkan? Boleh YB berikan contoh?

DUN Pantai Jerejak berada dalam kawasan industri dan pembangunan yang pesat. Apa yang boleh diketengahkan adalah dari segi sektor perkhidmatan dan  sektor pelancongan.

Pantai Jerejak mempunyai pantai yang cantik, Quensbay Mall yang dijadikan kawasan pelancongan. Selain itu, Pantai Jerejak juga merupakan kawasan utama industri ikan sangkar.

Perkara-perkara ini akan diketengahkan dalam memastikan pembangunan seimbang.

Untuk tempoh setahun selepas Pilihan Raya Negeri (PRN), apakah YB berpuas hati dengan khidmat yang diberikan?

Selepas setahun, saya belum berpuas hati dalam membawa dan menjaga DUN Pantai Jerejak. Banyak perkara yang telah dirancang namun belum dilaksanakan lagi.

Justeru bagi tahun kedua saya akan terus dengan aksi yang lebih agresif untuk memastikan DUN Pantai Jerejak dibangunkan secara lestari. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas