Agama

Fahami pengurusan harta sebaiknya, elak pertelingkahan pada masa hadapan

Gambar hiasan
- Diterbit 31 Mei 2024 4:31 PM MYT

HARTA mengikut definisi Dewan Bahasa dan Pustaka adalah sesuatu barang-barang berharga seperti rumah, tanah, barangan kemas dan sebagainya yang dipunyai oleh seseorang (syarikat, pertubuhan dan lain-lain).

Pengurusan harta adalah perkara yang amat penting bagi mengelakkan sebarang pertelingkahan pada masa hadapan akibat tidak menguruskan harta dengan sempurna.

Umum sedia maklum terdapat pelbagai cara yang berkesan dalam aspek pengurusan harta terutamanya bagi golongan beragama Islam.

Walau bagaimanapun, sukar untuk diterima realiti masa kini kerana masih ramai dalam kalangan masyarakat kita yang masih keliru ataupun memandang ringan mengenai pengurusan harta.

Pensyarah Kanan di Akademi Pengajian Islam Kontemporari, UiTM, Dr Mohd Hapiz Mahaiyadin berkata hibah, wasiat dan faraid, ketiga-tiga kaedah ini adalah aspek penting dalam pengurusan harta pusaka menurut ajaran Islam.

Menurutnya, penggunaan ketiga-tiga kaedah ini adalah ketetapan yang diperintahkan oleh Allah SWT supaya manusia menjadikan ia sebagai panduan dalam menguruskan harta dunia.

“Hibah adalah pemberian harta yang dilakukan semasa seseorang masih hidup, sementara wasiat dan faraid merupakan pembahagian harta setelah seseorang itu meninggal dunia.

“Walaupun mempunyai perbezaan dari segi maksud, rukun dan syaratnya, namun ketiga-tiga kaedah itu saling melengkapi selain memenuhi keadilan bagi setiap anggota sesebuah keluarga,” katanya ketika dihubungi baru-baru ini.

Tambahnya, Islam menetapkan kaedah faraid kepada waris yang layak menerima harta pusaka mengikut hukum syarak setelah diuruskan jenazah si mati, dilunaskan hutang (hutang dengan Allah (zakat, haji, fidyah dan kaffarah) dan hutang dengan manusia) dan dilaksanakan wasiatnya (sekiranya ada).­

“Harta yang ditinggalkan kena lihat kepada beberapa keadaan seperti sekiranya si mati masih hidup ada membuat hibah atau hadiah atau wasiat atau wakaf atau berhutang termasuk juga kos pengebumian.

“Jadi kesemua kos itu akan ditolak terlebih dahulu pada harta si mati. Bila semuanya sudah diselesaikan, barulah harta atau baki yang ditinggalkan itu dianggap sebagai harta pusaka yang boleh dibahagi kepada waris si mati,” ujarnya.

Menurutnya, rukun pusaka pula ada tiga iaitu si mati (orang yang diwarisi hartanya selepas kematian); waris (orang yang berhak menerima pusaka) dan harta (apa-apa kepunyaan si mati yang boleh diwarisi).

Jelasnya, terdapat beberapa cara pembahagian harta faraid yang telah ditetapkan oleh hukum syarak mengikut kepada keadaannya.

“Terdapat enam cara pembahagian iaitu 1/2, 1/3, 1/4, 2/3, 1/6, 1/8 atau 1/3 baki. Manakala bagi waris yang layak terima ialah mereka terdiri daripada isteri atau suami, ibu atau nenek, bapa atau datuk, anak perempuan atau cucu perempuan, saudara perempuan kandung, saudara perempuan sebapa dan saudara seibu,” ujarnya.

Mohd Hapiz berkata pembahagian harta yang dipanggil Asabah yang bermaksud waris yang tidak mendapat bahagian secara fardu yang ditetapkan yang mengandungi tiga jenis Asabah iaitu Asabah Bi al-Nafsi, Asabah Bi al-Ghairi serta Asabah Ma’a al-Ghairi.

Walau bagaimanapun, beliau memaklumkan terdapat juga segelintir golongan masyarakat yang kurang faham terhadap keadilan dalam pembahagian harta faraid ini.

“Tidak dinafikan bahawa isu yang sentiasa dibangkitkan berkenaan pusaka adalah waris lelaki sering mendapat kelebihan kerana mendapat bahagian lebih banyak berbanding waris-waris wanita.

“Dakwaan tersebut dibuat kerana kurangnya kefahaman terhadap syariat Islam secara menyeluruh yang melibatkan hak dan tanggungjawab. Mereka juga mungkin kurang memahami hikmah-hikmah di sebalik pensyariatan faraid ini.

“Bahagian lebih banyak yang diberikan kepada lelaki datang dengan tanggungjawab besar. Ini kerana, lelaki perlu menanggung nafkah untuk isteri, anak-anak dan kaum kerabat lain.

“Oleh itu, wajar dan adil untuk mereka mendapat bahagian lebih banyak berasaskan tanggungjawab tersebut,” tegasnya. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas