Artikel

Fahami konsep ‘tabayyun’ sebelum sebar sebarang berita palsu

- Diterbit 21 September 2023 4:50 AM MYT

SUDIRMAN MOHD TAHIR

PADA era kini, dunia sudah meneraju arus kemodenan di mana segala maklumat berada di hujung jari dan boleh diakses pada bila-bila masa dan di mana jua. Kemudahan teknologi ini sepatutnya digunakan untuk tujuan kebaikan dan memudahkan hubungan komunikasi sesama insan namun, acap kali medan seperti media sosial menjadi tempat tersebarnya berita palsu tanpa kesahihan yang tepat.

Kita boleh lihat dengan jelas isu penularan berita palsu di media sosial semakin menjadi-jadi dan memberi impak negatif seperti salah faham dan perpecahan dalam masyarakat. Dek kerana terlalu bebas bersosial tanpa had dan batasan, golongan ini bebas melontar tuduhan sehinggakan fitnah menjadi suatu normalisasi.

Mutakhir ini pelbagai bentuk berita palsu tular dan disebarkan di media sosial. Kebanyakannya tidak diketahui dari mana punca sehingga mengundang rasa resah, takut dan mengancam ketenteraman awam.

Umat Islam perlu bersikap hati-hati dengan cara meneliti dan mencari bukti yang berkait dengan isu mengenai sesuatu tuduhan atau hal yang menyangkut tentang identiti seseorang.

Adab atau sikap yang terkait dengan tabayyun (perkataan yang berasal daripada bahasa Arab yang bermaksud menthabitkan dan menyemak asas kebenarannya) ini ditekankan agar kita tidak terjerumus dalam kancah fitnah termasuk juga mengelakkan daripada mendengar atau membaca berita yang membahas keaiban dan membahayakan pemikiran. Demikianlah akhlak dan prinsip Al-Quran untuk sentiasa bersangka baik dan tidak gopoh dalam membuat kesimpulan akan sesuatu perkhabaran.

Perintah untuk tabayyun merupakan perintah yang sangat penting agar kita dapat mengelakkan dari berprasangka. Imam al-Syaukani berkata;

“Yang dimaksud dengan tabayyun adalah memeriksa dengan teliti dan yang dimaksud dengan tatsabbut adalah berhati-hati dan tidak tergesa-gesa, melihat dengan keilmuan yang dalam terhadap sebuah peristiwa dan khabar yang datang, sampai menjadi jelas dan terang baginya.” (Fath al-Qadir, 5/65).

Kehidupan bermasyarakat pada hari ini tidak lekang daripada membincangkan isu-isu semasa sebagai bahan gosip dan hujah dalam mengadu domba antara manusia sehingga terjadinya penyebaran berita palsu.

Perpaduan atau tali persaudaraan yang telah dibina selama ini mampu dileraikan atau diputuskan akibat daripada maklumat serta berita yang disampaikan ini tidak tepat dan dusta. Agenda memfitnah, menipu dan membuka aib orang lain begitu mudah untuk disebarkan berlandaskan segala ruangan yang ada dan sangat mudah untuk dilayari melalui Internet seperti laman media sosial.

Oleh itu, sebagai masyarakat yang bijak mestilah bertanggungjawab terhadap diri sendiri dalam menyampaikan sebarang berita atau maklumat. Ketahuilah bahawa akibatnya kelak akan memberi impak yang negatif kepada masyarakat sendiri seperti berlakunya salah faham, perbalahan antara kaum serta memecahbelahkan perpaduan yang telah lama dipupuk dalam kalangan masyarakat di Malaysia.

Dalam menerima atau menyampaikan sesuatu, untuk memastikan kebenaran dan kesahihan sesuatu berita itu mestilah melalui beberapa proses supaya dapat mengkaji dan meneliti khabar itu.

Beberapa faktor yang patut diambil berat termasuklah berhati-hati dalam menyampaikan sesuatu berita yang diperolehi sebelum menyebarkannya supaya tidak berlaku salah faham dan kesalahan fakta dalam sesuatu berita, memastikan tidak akan berlakunya salah faham dan kesalahan dalam fakta yang boleh menyebabkan fitnah, memastikan kesahihan dan kebenaran berita yang diterima atau yang akan disampaikan, tidak terburu-buru dalam membuat kesimpulan sesuatu berita, menanamkan prasangka yang baik dan menjauhi su’u zhan (prasangka buruk) sesama manusia dan menjaga silaturahim dan tidak memutuskan hubungan silaturahim di antara masyarakat.

Allah SWT melarang menyakiti saudara muslim dan menjanjikan azab yang berat kepada sesiapa yang mencemarkan kehormatan saudaranya. Firman Allah SWT yang bermaksud:

“Dan orang-orang yang mengganggu serta menyakiti orang-orang lelaki yang beriman dan orang-orang perempuan yang beriman dengan perkataan atau perbuatan yang tidak tepat dengan sesuatu kesalahan yang dilakukannya, maka sesungguhnya mereka telah memikul kesalahan menuduh secara dusta dan berbuat dosa yang amat nyata” (Surah al-Ahzab ayat 58).

Maka, jelaslah ketepatan berita sebelum disampaikan adalah sangat penting bagi mengelakkan sebarang agenda termasuklah memburukkan seseorang yang lain berlandaskan hawa nafsu. Allah SWT berfirman: Maksudnya:

“Wahai orang-orang yang beriman! Jika datang kepada kamu seorang fasik membawa sesuatu berita, maka selidikilah (untuk menentukan) kebenarannya, supaya kamu tidak menimpakan sesuatu kaum dengan perkara yang tidak diingini – dengan sebab kejahilan kamu (mengenainya) – sehingga menjadikan kamu menyesali apa yang kamu telah lakukan” (Surah al-Hujurat ayat 6).

PENULIS adalah wartawan yang juga penuntut Ijazah Sarjana Pengurusan Komunikasi, UKM.

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas