KISAH kanak-kanak perempuan yang tular ditolak ibunya hingga menyebabkan kecederaan pada kening dalam kejadian di sebuah pasar raya di Jejawi, Perlis, Ahad lalu mendapat perhatian Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek.
Fadhlina menerusi hantaran di akaun facebooknya telah meminta agar urusan kemasukan pra-sekolah berusia lima tahun itu di bawah Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dipercepatkan.
“Saya telah meminta urusan kemasukan ke pra sekolah dipercepatkan bagi memastikan kebajikan anak itu terus terjaga.
“Pegawai saya juga telah menyampaikan sumbangan wang tunai, bekal makanan, bantuan persekolahan dan permainan untuk anak itu,” katanya.
Semalam Fadhlina menghantar Pegawai Khasnya, Abu Seman Mat Karim, ke bilik sewa keluarga itu yang turut disertai Pengarah Pendidikan Perlis, Rose Aza Che Arifin.
Baru-baru ini, seorang pekerja kantin berusia 37 tahun direman enam hari untuk membantu siasatan.
Kes itu disiasat mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 selepas wanita itu ditahan di bilik sewanya di Jejawi pada 10 Feb lalu. – WILAYAHKU