Selebriti

Esma teruja ada teman berbuka

- Diterbit 15 Mac 2024 3:07 PM MYT

AKTOR berpengalaman, Esma Daniel, 55, teruja berpuasa bersama isteri baharunya, Nur Atira Mazlan, 31, yang dinikahi pada Mei tahun lalu. Baginya kehadiran Atira tepat pada waktunya di kala dia memerlukan teman hidup.

“Ramadan ini sudah tentunya momen yang indah apabila dapat kembali berpuasa bersama pasangan. Lain rasanya apabila ada isteri yang menemani ketika berbuka dan bersahur. Saya bertuah mempunyai isteri yang sangat memahami meskipun jarak perbezaan umur kami adalah 20 tahun,” katanya.

Pernah mengalami kegagalan rumah tangga sebanyak dua kali, Esma akui tidak mudah buat dirinya berkahwin untuk kali ketiga.

“Dengan umur sekarang, kita tahu kena ada teman. Tambah pula saya pernah berkahwin sebelum ini. Dalam hidup memang kena berteman. Sebagai orang yang pernah gagal dalam rumah tangga, sudah tentu ia ambil masa untuk berkahwin lagi.

“Tidak dinafikan, bila hidup solo, muka ketat saja. Saya pula suka hidup berumahtangga. Cuma bila nak kahwin baru, lebih berhati-hati. Tak boleh cakap ini kali terakhir atau takkan kahwin dah. Kita hanya merancang.

“Dulu muda, mungkin agak panas baran, tak fikir panjang. Tapi sekarang dah berbeza. Sebagai orang sudah berumur, kita kena faham perangai orang muda,” jelasnya.

Sementara Atira pula bersyukur dikurniakan suami yang lebih berusia dan matang. Baginya, lelaki berusia lebih pandai menjaga hati wanita muda sepertinya.

“Macam abang Esma dia seorang yang matang, sangat memahami dan penyabar. Kami banyak berbincang meskipun ada perbezaan pendapat. Bagi saya, kalau pasangan sama-sama muda, mereka cepat marah atau melenting, itu yang membuatkan hubungan mudah putus.

“Apa-apa pun, tua atau muda, bukanlah faktor penentu bahagia. Paling penting saling memahami dan menerima pasangan seadanya,” ujarnya.

Selain itu, Esma juga memberitahu dirinya lebih berhati-hati dalam soal kesihatan selepas pernah diserang angin ahmar, November tahun lalu.

Sehingga ke hari ini, Esma bersyukur diberikan kesihatan meskipun masih perlu mengambil ubat khas selama setahun dengan kos yang agak mahal.

“Saya sudah pulih sepenuhnya. Namun, kena patuhlah dengan nasihat doktor sebab bila sudah terkena, semestinya ada rasa waspada. Siapa yang pernah kena angin ahmar, peluang untuk kena lagi memang tinggi,” ujarnya selama satu tahun dia perlu makan ubat yang agak mahal. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas