BIARPUN peranan media massa kian dilihat tidak penting bagi sesetengah selebriti, namun pasangan penyanyi Syamel dan Ernie Zakri masih memerlukan media demi kelangsungan kerjaya seni mereka.
Barangkali ketika menyertai dunia seni lebih sedekad lalu, platform media sosial masih tidak sepopular sekarang dan pada ketika itu segala rencana seni diuar-uarkan menerusi media.
Maka, pasangan itu sudah terbiasa dan kekal menjaga ukhuwah bersama media hingga ke hari ini.
Ini kerana jelas mereka sejak awal masuk ke bidang ini mereka sudah diingatkan artis dan media saling memerlukan ibarat sebuah keluarga.
“Saya bermula pada 2009, ketika itu kita berada di fasa pertengahan antara media lama dan baharu. Sewaktu di syarikat rakaman lama, saya sudah diajar untuk bekerjasama dengan media.
“Mungkin kami berdua beruntung kerana ada Anuar dan Ziana Zain, begitu juga artis lama seperti Ramlah Ram dan tidak ketinggalan Datuk Seri Siti Nurhaliza turut memberikan ‘input’ dan mengingatkan kami jika tiada media, maka tiadalah cerita kami.
“Sebenarnya bukan sekadar berita tetapi lebih kepada hubungan yang telah kita bina selama ini sekalipun platform media sosial semakin besar,” kata Ernie yang ditemui di majlis buka puasa di Hotel St Gilles, baru-baru ini.
Tambah Ernie kepentingan media cukup dirasainya sejak kerjaya muziknya berada di puncak berbanding pada awal kemunculannya dulu.
Dia yang menghasilkan album pertama pada usia 17 tahun tidak faham kepentingan promosi dan media pada ketika itu.
Walau bagaimanapun, selepas 16 tahun berada dalam industri dan melancarkan album Aura pada 2023, Ernie akui lebih matang dan mula tahu peranan dimainkan media tak kurang pentingnya.
“Apabila saya lancarkan album Aura, perkara itu menyedarkan saya bahawa media sangat penting.
“Mereka bukan saja-saja sokong. Tapi maklum balas daripada mereka itu sebenarnya yang banyak beri saya pembelajaran untuk projek akan datang,” katanya.
Sementara itu, menurut penyanyi lagu Hidup Dalam Mati, Syamel pula ia bergantung kepada persepsi individu itu sendiri.
Sekiranya mereka melihat sesuatu perkara termasuk jalinan hubungan dengan media dari sudut yang positif, maka perkara positif akan datang kepada mereka, begitu juga sebaliknya.
“Mungkin corak pemikiran yang perlu berubah, kalau kita anggap artis dan media sebagai satu keluarga maka kita boleh bekerja secara rapat.
“Jika dianggap negatif, hasil yang tidak baiklah akan datang kepada kita. Kalau masing-masing melihat dari sudut positif maka akan adalah satu perkembangan sihat dan benda itu akan nampak lebih harmoni apabila kita bergerak seiring,” katanya.
Selama berada dalam industri, akui pasangan suami isteri itu lagi, mereka tidak pernah berdepan isu terasa hati atau marah dengan artikel dikeluarkan.
Bagi mereka, perkara itu boleh dibawa berbincang tanpa perlu menggunakan media sosial sebagai medium untuk meluahkan perasaan tidak puas hati.
Inisiatif untuk sentiasa belajar, mendengar pandangan orang industri dan menjaga adab sudah menjadi seperti kata kunci yang mereka amalkan setiap masa.
“Semakin rajin kita pergi tempat yang betul, kita akan dapat jawapan dan olah ikut keselesaan sendiri. Kalau hal itu nampak salah, itu salah kita sendiri kerana kita yang tiada usaha untuk belajar.
“Kalau hal yang diperkatakan betul, layankan saja. Jangan bongkak dan sombong,” kata Syamel. – WILAYAHKU