Oleh SYUQQREE DAIN
SAMBUTAN Hari Kebangsaan yang berlangsung secara gilang-gemilang di Putrajaya baru-baru ini merupakan kali keenam diadakan di pusat pentadbiran Kerajaan Persekutuan tersebut selepas tahun 2003‚ 2005, 2018‚ 2019 dan 2023.
Acara pada sambutan kali ke-67 yang berteraskan kebersamaan Malaysia diterjemahkan dalam interpretasi Jiwa Merdeka melibatkan 17‚262 peserta‚ 57 kontinjen‚ 25 pancaragam‚ 112 aset hidup‚ 479 aset negara termasuk persembahan udara‚ selain segmen persembahan membabitkan ribuan peserta grafik manusia dengan gerak tari koreografi berskala besar.
Selain itu‚ pelbagai lagi acara patriotik dapat dilihat serta dirasai oleh rakyat Malaysia dari seluruh pelosok negara dengan penuh keterujaan. Sifat kebersatuan yang ditunjukkan membuktikan semangat patriotik masih kekal subur sekali gus menzahirkan imej kebersamaan selari dengan aspirasi Malaysia MADANI.
Majlis turut diserikan dengan keberangkatan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong‚ Sultan Ibrahim dan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong‚ Raja Zarith Sofiah; Perdana Menteri dan isteri‚ Timbalan-Timbalan Perdana Menteri‚ Menteri-menteri Kabinet‚ Duta serta Konsulat Asing di Malaysia.
Dalam masa sama‚ rakyat diseru untuk terus mengibarkan Jalur Gemilang di seluruh negara bersempena Hari Malaysia yang bakal dilangsungkan di Padang Merdeka‚ Kota Kinabalu‚ Sabah pada 16 September 2024 kelak.
LENSA: